fbpx

Dua lelaki termasuk Datuk kes pukul di restoran direman 2 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH seorang suspek bergelar Datuk menundukkan muka selepas prosiding reman selesai di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

PETALING JAYA – Dua orang lelaki termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan polis selepas terlibat kes pukul dan ugutan jenayah di sebuah restoran Selasa lalu, direman selama dua hari di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Perintah reman ke atas kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 42 tahun yang bermula hari ini sehingga esok itu, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Siti Mazrah Mohamad.

Kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 adalah bagi kesalahan mendatangkan cedera yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi Seksyen 506 kerana mengugut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding reman itu kedua-dua suspek diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Semalam Kosmo! Online melaporkan kedua-suspek ditahan polis selepas terlibat kes pukul dan ugutan jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kejadian berlaku di Restoran TST, Tropicana Avenue, di sini pada Selasa lalu.

Menurut Fadzil, tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki warga tempatan bergelar Datuk yang berusia 42 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

“Kejadian berpunca daripada suspek yang telah ditegur oleh seorang lelaki yang merupakan pelanggan yang duduk di meja bersebelahan kerana suspek bercakap dalam nada suara yang tinggi,” katanya.

Sebelum ini, satu klip video berdurasi 50 saat tular di media sosial, memaparkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI