fbpx
EVERTON berjaya mencatat kemenangan 2-1 menewaskan Wolves awal pagi semalam biarpun tanpa khidmat dua tonggak penting. – AFP

Everton menang dalam sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WOLVERHAMPTON – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti me­ngakui bangga selepas skuad kendaliannya melonjak ke kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 di Stadium Molineux awal pagi semalam.

The Toffees memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi jaringan Alex Iwobi dan Michael Keane, sementara gol tuan rumah dijaringkan Ruben Neves.

Walaupun beraksi tanpa kelibat penjaring terbanyak kelab musim ini, Dominic Calvert-Lewin, namun Ancelotti gembira apabila anak-anak buahnya berjaya menyesuaikan diri de­ngan cepat pada perlawanan itu.

“Para pemain cepat menyesuaikan diri, lebih-lebih lagi kombinasi James Rodriguez dan Gylfi Sigurdsson yang ba­nyak memberi kesukaran kepada mereka.

“Kami terpaksa menggunakan corak permainan berbeza tanpa Richarlison dan Calvert-Lewin. Saya menerapkan gaya serangan menerusi sayap yang digerakkan oleh Iwobi dan Lucas Digne,” kata bekas jurulatih Real Madrid itu.

Pada masa sama, Ancelotti juga mengakui, mereka berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol tanpa kelibat Richarlison dan Calvert-Lewin, sekali gus memaksa pasukan itu fokus pada bahagian pertahanan.

“Saya akui sukar untuk kami lakukan serangan tanpa dua pemain itu. Bagaimanapun, keputusan untuk memperkemaskan pertahanan membuahkan hasil apabila kami menampilkan aksi lebih kemas,” ujarnya. – AGENSI