fbpx
PENGINAPAN yang terbaik dengan harga berpatutan menjadi dambaan setiap pelancong. – GAMBAR HIASAN

Tempah hotel dengan bayaran ansuran fleksibel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI kebiasaan kepada pelancong untuk menempah penginapan atau hotel terbaik sekiranya pergi bercuti.

Ramai juga antara kita kini memilih untuk menempah hotel-hotel yang terbaik dengan harga berpatutan jika bercuti sebagai salah satu cara untuk berjimat cermat.

Namun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat global termasuklah rakyat Malaysia yang gemar untuk melancong sama ada di dalam ataupun luar negara.

Biarpun kini di sesetengah negeri di Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan negara masih menutup pintu sempadan untuk pelancongan, namun melancong adalah suatu yang boleh dirancang untuk akan datang.

Dalam membantu orang ramai yang ingin mendapatkan penginapan terbaik ketika bercuti, platform pelancongan digital Agoda telah melancarkan kerjasama serantau bersama Atome, sebuah platform utama berkonsepkan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ di Asia untuk menawarkan pembayaran ansuran yang fleksibel bagi tempahan penginapan di Malaysia dan Singapura.

Pelan pembayaran ansuran itu juga bakal diperluaskan ke lapan negara lain di Asia Tenggara dan Asia Pasifik pada tahun ini.

Di bawah kerjasama ini yang telah dijalinkan pada 21 Disember lalu, para pelancong dari Malaysia dan Singapura boleh membuat pembayaran penginapan mereka dalam tiga pembayaran ansuran tanpa kadar faedah dan tanpa caj tambahan atau yuran perkhidmatan dengan memilih platform pembayaran Atome semasa membuat tempahan di laman web agoda.com atau aplikasi mudah alih Agoda.

Di Malaysia dan Singapura, platform Agoda menawarkan lebih 34,000 pilihan penginapan yang bersesuaian dengan segala peruntukan kos dan tujuan.

AGODA melancarkan kerjasama dengan Atome sejak 21 Disember lalu.

Pilihan pembayaran baharu yang mudah dan selamat untuk pengguna Agoda ini bakal diperluaskan ke negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Naib Presiden Kewangan Komersial Agoda, Darren Makarem berkata, pihaknya sentiasa mencari kaedah inovatif untuk membantu orang ramai keluar melancong dengan menggunakan teknologi yang mempermudahkan proses pencarian, penempahan dan pembayaran.

“Pelancaran pilihan pembayaran ansuran kami dengan Atome membolehkan pelancong-pelancong Singapura dan Malaysia yang pernah mengalami kesulitan membuat pembayaran untuk ‘membahagikan’ kos tempahan penginapan kepada beberapa pembayaran ansuran dengan memilih Atome, tanpa dikenakan caj tambahan,” katanya.

Bermula sebagai sebuah syarikat e-dagang di Singapura pada tahun 2005, Agoda telah berkembang menjadi syarikat yang menawarkan jaringan global bagi 2.4 juta penginapan di lebih 200 negara di seluruh dunia selain menawarkan kepada pelancong akses tempahan mudah meliputi hotel, pangsapuri, rumah, vila mewah dan murah yang luas, sesuai untuk semua bajet dan tujuan pengembaraan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Atome, David Chen berkata, kerjasama itu menandakan satu permulaan kolaboratif serantau yang mengujakan bersama Agoda.

“Sektor pelancongan telah memberikan banyak sumbangan kepada perniagaan dan menjadi mata pencarian dan tunjang ekonomi bagi Asia.

“Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk memainkan peranan dalam membantu menyemarakkan industri pelancongan termasuk domestik melalui pengenalan kepada pilihan pembayaran iaitu ‘beli sekarang, bayar kemudian” yang fleksibel dan mudah di platform Agoda,” jelasnya.

Tambahnya, apabila lebih banyak negara di Asia membuka semula sempadan di tahun 2021, kerjasama serantau ini membolehkan lebih ramai pengguna Agoda menikmati kemudahan itu dan fleksibiliti apabila membuat pembayaran.

Atome, sebuah syarikat teknologi utama dengan konsep ‘beli sekarang, bayar kemudian’ telah melancarkan perkhidmatannya pada bulan Disember 2019 dan kini telah bekerjasama dengan lebih 2,000 peruncit dalam talian dan bukan dalam talian termasuk Sephora, Zara, Marks & Spencer, IUIGA dan iStudio meliputi pelbagai kategori seperti fesyen, kecantikan, gaya hidup, perkakas rumah dan pelancongan.

BERITA BERKAITAN