fbpx
ORANG awam melihat dan merakam fenomena air pasang sehingga melimpah ke atas jalan di Tanjung Lipat sebentar tadi. - Foto: IVAN AMIRUL

Fenomena air pasang di pantai Tanjung Lipat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Fenomena air pasang sehingga melimpah ke atas jalan di Tanjung Lipat di sini menarik perhatian penduduk setempat khususnya pengguna jalan raya apabila rakaman kejadian menjadi tular di media sosial beberapa jam lalu.

Video air pasang  dikatakan pada pukul 7.30 malam tadi turut memaparkan kehadiran pasukan polis yang datang ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.

Tinjauan di lokasi mendapati fenomena luar biasa itu menarik perhatian ramai awam sehingga ada pemandu dan penumpang kenderaan memberhentikan kenderaan bagi menyaksikan dan merakamkan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan dengan mengarahkan orang awam yang berhenti meneruskan perjalanan masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amir Zudi Hashim berkata, kejadian air pasang, angin kencang dan laut bergelora di perairan Sabah menyebabkan berlakunya limpahan air di persisir pantai.

“Keadaan itu mengakibatkan berlakunya limpahan air laut sehingga ke pesisir pantai.

“Selain itu, faktor dasar pantai itu sendiri juga mempengaruhi keadaan berkenaan.

“Kita tidak boleh menjangkakan tempoh fenomena ini berlarutan namun keadaan biasanya menjadi normal beberapa jam selepas itu dan bagi air pasang di sini, mungkin akan surut selepas jam 10 malam ini.

“Kadar kenaikan paras air juga bergantung kepada keadaan semasa, jika air pasang makin tinggi maka limpahan berlaku juga semakin banyak,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, Amir Zudi menasihati orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran untuk tidak menghampiri kawasan pantai bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya  juga akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa. -K! ONLINE