fbpx

39 sekatan jalan raya PKP Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 39 sekatan jalan raya (SJR) akan dibuat di lima daerah di negeri ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula tengah malam ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, SJR itu akan melibatkan 1,142 keanggotaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga turut mengenal pasti dua lokasi baharu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah iaitu di Pusat Kecemerlangan Mara di Jawi, Nibong Tebal dan Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong di sini bagi berdepan kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi mengoperasikan kedua-dua lokasi tersebut yang masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit.

“Selain itu, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang juga telah menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja mereka.

“Dalam masa sama, kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) juga bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow sekali lagi menyeru penduduk negeri ini menerima keputusan pelaksanaan PKP dan memberikan kerjasama penuh demi menjayakannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI