fbpx

Kerja terakhir Siti sebelum berehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

TAHUN 2020 meninggalkan 1001 kenangan manis kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan pencapaian dan anugerah yang diperoleh.

Antara kejayaan yang dicapai beliau ialah Artis Paling Banyak Distrim dalam platform Spotify dan JOOX, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan Individu Tergempak (Astro Gempak).

Selain itu, dua buah lagu daripada album ManifestaSITI2020 iaitu 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). Terbaharu, video muzik trek ketujuh daripada album tersebut iaitu Kuasa Cintamu mendapat lebih dua juta tontonan dalam YouTube.

Sebagai pembuka tirai tahun baharu 2021, sebuah lagi video muzik daripada Siti dilancarkan berjudul Takhta Dunia yang merupakan ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.

Lagu berkenaan mempunyai keunikan tersendiri daripada segi melodi dan cara penyampaian. Malah inti pati lirik yang dihasilkan sangat memberi makna. Bersesuaian dengan maksud liriknya, video muzik berkenaan digarap istimewa menerusi elemen minimalis teater muzikal.

Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film menonjolkan simbolik peranan penari dan pelakon sebagai medium penyampai mesej.

Sebagai contoh, terjemahan mesej menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut membawa maksud jasad seseorang terperangkap pada zaman lampau, namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.

Berlatar belakang tahun 1970-an di sebuah stesen kereta api yang dinamakan Lipis Sentral, lokasi penggambaran dijalankan di ruang pameran Muzium Sultan Alam Shah, Selangor yang menempatkan koleksi kepala dan gerabak kereta api lama.

Mengupas lirik lagu tersebut, Takhta Dunia sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang sentiasa bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila semua itu menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.

Visual lakonan dalam video muzik trek kelapan album ManifestaSITI2020 tersebut banyak mengaitkan isu semasa masyarakat yang sering berlaku seperti vandalisme, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur di dalam pengangkutan awam, buli siber dan mencopet atau mencuri.

Kesedaran

Siti menyifatkan video muzik Takhta Dunia sebagai pembuka tahun baru dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat. Menurut beliau, seiring dengan kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai murni atau adab dalam diri mereka.

“Sebagai seorang penyanyi, saya bertanggungjawab mengetengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi juga kesedaran,’’ kata penyanyi itu yang menyambut ulang tahun ke-42 hari ini.

Sambungnya lagi, penggambaran video muzik Takhta Dunia terbitan Universal Music Sdn.Bhd. dan Siti Nurhaliza Productions merupakan antara kerja terakhir beliau sebelum berehat untuk memberi fokus menanti kelahiran anak kedua April depan.

Siti muncul dengan idea untuk tampil menggayakan imej seorang wanita era 1970-an bagi memberikan kelainan dalam setiap video muzik yang dihasilkan. Beliau menggunakan khidmat pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahmad Dhani bagi merealisasikan imej tersebut.

Video muzik rasmi Takhta Dunia tersedia dalam saluran YouTube Siti Nurhaliza sejak 8 Januari 2021 lalu. Album ManifestaSITI2020 juga boleh didapati dalam platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 3 Julai tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI