fbpx

Kira-kira 5,000 katil masih kosong di Maeps 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 5,137 katil masih kosong di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sekali gus menolak dakwaan bahawa pusat kuarantin itu mengalami kesesakan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Aminuddin Hassim berkata, jumlah itu menunjukkan pusat kuarantin tersebut mempunyai kapasiti kira-kira 60 peratus untuk menempatkan pesakit.

Menurutnya, pada masa ini, PKRC itu mempunyai 8,000 katil namun berkapasiti sebenar 10,000 katil.

“Setakat 12 tengah malam semalam, jumlah pesakit semasa ialah 2,863 orang.

“Daripada 8,000 katil sedia ada jumlah katil yang masih kosong ialah 5,137 buah dan ini bermakna 40 peratus sedang digunakan manakala 60 peratus katil masih kosong,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin turut menolak dakwaan bahawa pusat kuarantin itu sesak dan ‘dibanjiri’ pesakit Covid-19 seperti yang digambarkan dalam satu video tular semalam.

“Gambaran dalam video tular bahawa PKRC sesak itu mengelirukan orang ramai. Keadaan dalam video itu hanyalah situasi biasa ketika proses discaj harian,” katanya.

Semalam, tular satu video perkongsian menunjukkan situasi semasa PKRC Maeps yang kononnya mengalami kesesakan berikutan pertambahan pesakit Covid-19 bergejala ringan dan individu menjalani kuarantin. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI