fbpx
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa hari ini. Foto ZULHANIFA SIDEK

Jazlan tarik sokongan terhadap PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU Selepas meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu lalu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub hari ini mengumumkan menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, keputusan itu dibuat tanpa desakan mana-mana pihak dan tiada kepentingan peribadi, sebaliknya atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN).

“Maka dengan ini saya mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di sini petang ini.

Penarikan sokongan Ahmad Jazlan menyaksikan kerajaan PN kini mempunyai 110 sokongan Ahli Parlimen, berbanding 108 sokongan diraih Pakatan Harapan (PH).

Pada sidang akhbar sama, Ahmad Jazlan memberitahu, kesemua 12 bahagian UMNO negeri ini kecuali Ketereh turut menyatakan pendirian menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Katanya, semua keputusan dibuat itu adalah muktamad dan surat memaklumkan tindakan pihaknya itu akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid secepat mungkin.

“Saya sedar dan sekali lagi saya sebut apa yang saya buat ini tidak akan sekalipun menggugat kedudukan kerajaan sedia ada.

“Apatah lagi tidak akan ada Pilihan Raya Umum kerana dengan sokongan 110 berbanding dengan 108, sudah tentulah masih ada majoriti,” katanya.-K! ONLINE