fbpx
CARDIN bukan sahaja berjaya sebagai pereka fesyen, tetapi juga ahli perniagaan terkenal menerusi produk lain seperti kelengkapan rumah, wangian, rokok, coklat dan jam tangan.

K2

Perginya ikon fesyen dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja nama Pierre Cardin, siapa tidak kenal dengan susuk tokoh lagenda fesyen Perancis dan ikon fesyen dunia yang terkenal dengan rekaan inspirasi daripada angkasa lepas, gaya futuristik, geometri serta warna-warni unik.

Pada Selasa lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Pierre Cardin atau nama asalnya Pietro Costante Cardin pada usia 98 tahun.

Berita kematiannya diumumkan Akademi Seni Halus Perancis di laman Twitter.

Pemergian Cardin adalah kehilangan besar dalam dunia fesyen kerana beliau adalah insan penting yang menjadi pencetus kepada perkembangan fesyen Perancis dan dunia pada hari ini.

Ciptaannya banyak digayakan oleh bintang ternama antaranya Elizabeth Taylor, Lady Gaga, Barbra Streisand, Jeanne Moreau, Jackie Kennedy, Charlotte Rampling, The Beatles dan The Rolling Stones.

Tidak ketinggalan turut menjadi kegemaran golongan sosialit kaya dan orang kenamaan seperti mantan wanita pertama Amerika Syarikat, Jacqueline Kennedy.

Cardin telah melanggar tradisi melalui rekaan futuristiknya dengan menghasilkan koleksi unisex terkenal dan sedia pakai.

 

FESYEN pakaian dan topi masa depan direka oleh Cardin berdasarkan karakter sains fiksyen pada tahun 1960-an.

 

Anak bongsu daripada 10 beradik itu dilahirkan pada 2 Julai 1922 di San Biagio, Callalta sebuah bandar kecil di timur laut Itali.

Beliau merupakan anak kepada pasangan Alessandro Cardin dan Maria Montagner yang merupakan peniaga wain kaya di Itali tetapi kehilangan harta ekoran Perang Dunia Pertama.

Nama asalnya Pietro tetapi ditukar kepada Pierre setelah keluarga berpindah ke Perancis untuk menyelamatkan diri daripada golongan fasisme selepas dua tahun kelahiran Cardin.

Ketika usia remajanya, beliau bekerja sambil belajar termasuk sebagai tukang jahit sebelum berangkat ke Paris pada tahun 1945 untuk meneruskan impiannya sebagai pereka fesyen.
Sesampainya di sana, beliau bekerja di The House of Paquin dan Elsa Schiaparelli.

Kostum filem

Langkah pertamanya dalam bidang fesyen adalah menyiapkan kostum bagi filem arahan Jean Cocteau untuk versi Beauty and the Beast.

Pada tahun 1946, beliau bekerja sebagai tukang jahit di perusahaan mentornya iaitu Christian Dior yang pada ketika itu membuka rumah couture di Paris.

Empat tahun kemudian, pada usia 28 tahun, Cardin berjaya menubuhkan jenamanya sendiri dengan membuat rekaan kostum untuk teater dan kemudian kepada haute couture pada 1953.

Penciptaan yang mengangkat namanya adalah rekaan dres gelembung pada tahun 1954.
Ia berjaya dikomersialkan ke seluruh dunia dan menjadi permulaan kepada inovasi dalam rekaan fesyen.

 

BERMULA daripada bekerja dengan pereka fesyen lain, dengan idea tersendiri Cardin berjaya mencipta nama sebagai pereka fesyen tersohor dunia.

 

Selain itu, salah satu pakaian yang menonjol adalah dres berona merah jambu yang direka bentuk tiga dimensi dan diperbuat daripada kain ciptaannya sendiri.

“Pakaian kegemaran saya adalah persalinan yang dicipta untuk kehidupan yang belum ada iaitu dunia hari esok.

“Saya ingin mencipta pakaian yang mempunyai ciri masa depan dan di luar kotak fikiran manusia,” katanya.

Berharap pakaian rekaannya mudah diakses, beliau melancarkan koleksi sedia pakai pertama pada tahun 1959.

Tindakannya itu membuatkan beliau diusir dari Chambre Syndicale iaitu badan yang mengatur haute couture di Perancis.

Pada tahun 1960, Cardin menggabungkan minat dalam dunia penerokaan ruang angkasa dengan membuat koleksi unisex era angkasa yang inovatif.

 

SALAH satu fesyen unik rekaan Cardin yang lari daripada kotak pemikiran biasa dan dianggap genius mendapat sambutan ramai.

 

Menurut Ketua Kurator Institut Kostum, Muzium Seni Metropolitan di New York, Andrew Bolton, Cardin seorang yang luar biasa yang mempunyai pemikiran jauh ke hadapan.

“Sejak memulakan kerjaya sebagai pereka fesyen lebih tujuh dekad lalu, beliau memiliki kepakaran luar biasa dalam teknologi pembuatan pakaian.

“Pada tahun 1969, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menugaskannya untuk terlibat sama dalam rekaan sut angkasa lepas,” katanya.

Terang Bolton, rekaannya dipengaruhi oleh bentuk geometri dan fabriknya pula menggunakan foil perak serta vinil berwarna terang.

Ia menjadi siluet baharu membentuk estetika yang dominan pada awal tahun 1960-an.
Ujar Bolton, kebolehannya dalam pembikinan fabrik dan kepekaan dalam seni bina adalah signatur sebenar Cardin.

Inspirasi

Cardin mendapat inspirasi dari mana-mana sahaja seperti pagoda ketika berkunjung di China, lukisan Op Art atau reka bentuk automotif.

“Saya selalu terinspirasi oleh sesuatu di luar bukan oleh tubuh itu sendiri.

“Pakaian adalah untuk memberi bentuk kepada badan seperti gelas memberi bentuk kepada air apabila dituang ke dalamnya,” ujar Cardin kepada The New York Times pada tahun 1985.

Cardin meletakkan asas kepada empayar global pada tahun 1950 yang mana ketika itu Perancis tidak terkenal dengan fesyen.

Beliau membawa rekaannya ke Moscow, Tokyo dan Beijing yang sekali gus, merapatkan jurang fesyen dengan negara-negara lain.

Pada tahun 1957, Cardin menjadi orang pertama yang menjalin hubungan perniagaan dengan Jepun dan dalam masa dua tahun beliau telah menjual jenama fesyennya di sana.

Pelantikannya sebagai profesor emeritus di Bunka Fashion College di Jepun telah memberi Cardin peluang untuk menjalin hubungan perniagaan dengan ahli perniagaan di Negara Matahari Terbit itu.

Tidak puas dengan itu, beliau berasakan pasaran pakaian belum diluaskan ke Eropah tengah dan Asia.

 

CARDIN berjaya mengembangkan sayap perniagaannya ke seluruh dunia dengan idea bernas dan geniusnya dalam bidang perniagaan.

 

Sehubungan itu, pada tahun 1960 beliau telah menawarkan pengeluaran besar-besaran jenamanya di China.

Pada tahun 1983, Cardin menjadi pereka Perancis pertama yang menembusi pasaran Soviet Union.
Rekaannya dihasilkan di kilang di Soviet Union dan dijual di butik Cardin yang terletak di Moscow, Rusia.

Cardin mengganggap dirinya sebagai manusia yang prolifik yang bukan sahaja mencipta nama untuk fesyen dan aksesori tetapi turut merangkumi produk lain seperti barangan kelengkapan rumah, wangian, rokok, coklat dan jam tangan.

Produk-produk di bawah jenama Pierre Cardin dijual oleh 900 pemegang lesen di lebih 140 negara di lima benua.

“Saya mandi dengan sabun jenama sendiri, begitu juga memakai minyak wangi dan tidur di cadar, kesemuanya menggunakan logo Pierre Cardin.

“Saya menggunakan kesemua produk sendiri dan seperti hidup dengan diri sendiri,” katanya berseloroh ketika ditemu bual media suatu ketika dahulu.

Pertengahan tahun 1980-an, Cardin telah memimpin organisasi pemasaran dan rangkaian pemegang lesen yang membayarnya royalti sebanyak lima hingga 12 peratus.

Aliran pendapatannya itu membuatkan dia digelar sebagai Napoleon pemberi lesen.

“Saya dilahirkan sebagai seorang artis yang sangat mencintai keseniaan.

“Tetapi saya juga merupakan seorang ahli perniagaan,” katanya.

Bekas Presiden Badan Penganjur Fesyen terkenal di Perancis, Didier Grumbach menyifatkan kemampuan Cardin menggunakan namanya dalam pelbagai produk membawa tuah.

“Lesen-lesen tersebut membolehkannya merancang ciptaan yang avant-garde dengan bebas.

“Tidak ada pereka lain yang mengembangkan sistem lesen seperti dilakukan oleh Cardin,” katanya.

Tidak puas memimpin pelbagai jenama global, Cardin telah mengorak langkah perniagaan kepada perusahaan teater, motel, media dan restoran.

Pada tahun 1981, dia membeli Maxim yang pernah menjadi restoran terkenal di dunia dengan mercu tanda belle époque di Rue Royale, Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN