fbpx

Kapal kargo ditahan bersauh tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kapal kargo yang berdaftar Ulaanbaatar, Mongolia ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang, Port Dickson semalam.- Gambar Ihsan Maritim Malaysia.

PORT DICKSON – Sebuah kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan tersebut adalah hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai sebuah kapal kargo yang sedang berlabuh di pelabuhan Negeri Sembilan.

Haris Fadzillah berkata, sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng Laut terus ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Setibanya di lokasi, anggota penguatkuasa Maritim Malaysia telah membuat pemeriksaan ke atas kapal kargo tersebut iaitu MV Bistari yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia.

“MV Bistari dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Haris Fadzillah, pemeriksaan lanjut mendapati, kapal kargo tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal tersebut seterusnya ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI