fbpx
Sungai Bedil di Kampung Kelantan, Kota Tinggi lokasi dipercayai berlakunya pertembungan air Sungai Danau Raja.

Bunyi meriam petanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Rata-rata penduduk di daerah ini mendakwa mereka terdengar le­tupan se­olah-olah bunyi meriam setiap kali sebelum berlaku bah besar di bandar bersejarah itu.

Dentuman kuat yang dide­ngari penduduk itu diibaratkan sebagai amaran awal atau petanda­ di daerah berkenaan bakal dinaiki air.

Bagi penduduk Kampung Lukut, Muhammad Yazid Ayub, 51, meriam itu benar-benar wujud, bagaimanapun penduduk tidak tahu kedudukan sebenar senjata tersebut sehingga sekarang.

“Bagi kami (penduduk), kejadian letupan ini bukan mitos atau kebetulan, tetapi sebagai pan­duan kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya bersedia menghadapi kejadian banjir besar.

“Bunyi dentuman itu berbeza dengan bunyi petir atau mercun.

“Mengikut cerita orang terdahulu di Gunung Panti dan di Johor Lama, meriam itu ada dan akan berbunyi sebagai petanda berlakunya bah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.

Menurut cerita orang lama, misteri bunyi letupan itu pertama kali berlaku pada tahun 1969.

Ada penduduk yang mendakwa­ dan percaya kejadian itu di­sebabkan pertembungan air Su­ngai Bedil dan Sungai Danau Raja.

Mengulas lanjut, Muhammad Yazid berkata, dia pernah mendengar bunyi ‘amaran’ meriam tersebut dan kejadian banjir di daerah ini benar-benar berlaku.

Menurut lelaki itu, ada dalam kalangan penduduk terutama generasi baharu menganggap kisah bunyi letupan meriam sebagai mitos.

Dalam pada itu, mangsa banjir, Zainal Zaini, 42, mendakwa, dia mendengar bunyi meriam tersebut sebelum kejadian banjir besar pada 2006.

“Saya tinggal di Taman Mawai Jaya, Kampung Makam di sini sudah lebih 40 tahun. Rumah yang saya diami sekarang adalah tinggalan arwah bapa.

“Saya mendengar bunyi letupan seakan-akan meriam pada waktu Maghrib (2006) semasa hujan lebat, esoknya kami terpaksa berpindah sebab banjir besar,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Bukit Lintang, Afzainizam Kastrai, 49, pula memberitahu, dia turut mendengar bunyi de­ntuman meriam itu sebanyak dua kali pada Sabtu lalu.

Bagi penduduk di sekitar Gunung Panti, bunyi letupan luar biasa itu merupakan petanda bah akan berlaku di bandar tersebut.

“Pada pagi Sabtu lalu, semasa berehat di rumah, saya sekeluarga terdengar dua kali bunyi de­ntuman meriam.

“Saya beritahu anak-anak esok (Ahad) banjir akan berlaku di bandar Kota Tinggi. Pengalaman sama dilalui pada 2006 dan 2007,” katanya yang mempercayai tentang dentuman itu.

Menurut Afzainizam, dia bernasib baik kerana kediamannya lerletak di tempat tinggi dan tidak terjejas pada musim banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.

Kejadian bah besar pernah berlaku kira-kira 15 tahun lalu di daerah ini sehingga menyebabkan le­bih 100,000 penduduk terjejas.

Bencana banjir besar itu sekali lagi dialami penduduk pada ambang tahun baru 2021 apabila seluruh bandar Kota Tinggi sekali lagi dinaiki air sehingga menyebabkan lebih 2,500 penduduk terjejas.

Bencana alam yang melanda Kota Tinggi pada Sabtu lalu itu itu bagaimanapun semakin pulih semalam.

Rata-rata penduduk sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam selepas keadaan didapati selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN