fbpx

K2

Kafe Kambing Kacak saji hidangan Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMALIAH menunjukkan beberapa sajian Asia Barat yang ditawarkan di Kafe Kambing Kacak, Bandar Puteri Bangi, Kajang, Selangor.

MENGHIDANGKAN menu utama yang terdiri daripada aneka masakan kambing membuatkan Kafe Kambing Kacak menjadi lokasi tumpuan bagi pencinta daging tersebut.

Beroperasi sejak November 2018, restoran itu menawarkan menu dari Asia Barat selain menyediakan masakan tempatan bagi memberi pilihan yang pelbagai kepada para pelanggan.

Menurut Pemilik Kafe Kambing Kacak, Jamaliah Ibrahim, 62, atau lebih mesra disapa Kak Yah, premis tersebut menyediakan lebih 30 jenis menu yang majoritinya menggunakan daging kambing sebagai masakan utama.

“Antara menu signatur kami ialah kambing kacak iaitu merupakan kambing panggang yang diperap menggunakan ramuan istimewa dan dihidangkan bersama kentang goreng, sos lada hitam dan coleslaw.

“Selain itu, kami menyediakan hidangan seperti ayam mandy, lamb kabsa dan lamb shanks bersama nasi,” katanya ketika ditemui di restoran tersebut di Bandar Puteri Bangi, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ujar Kak Yah, pihaknya menggunakan daging kambing berkualiti yang diimport dari Australia.

LAMB kabsa merupakan salah satu hidangan yang ditawarkan di Kafe Kambing Kacak.

Kafe Kambing Kacak turut menghidangkan sajian lain seperti salad, kebab ayam, kebab kambing, keropok lekor Terengganu, roti Arab, akda lamb with bread, lamb kebab roll, chicken kebab roll, chicken chop, fish and chip, nasi

goreng ayam, nasi goreng seafood, nasi goreng kambing dan makaroni keju.

Di samping itu, restoran tersebut turut menghidangkan aneka piza seperti chicken pepperoni, beef pepperoni, cheese maniac, super supreme mix, chicken fajita dan hawaian.

Jelasnya, adunan doh dan ramuan membuat piza dibuat sendiri oleh cef di restoran tersebut dengan menggunakan bahan-bahan segar.

Mengulas mengenai idea membuka restoran berkenaan, ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, dia sangat menyukai makanan dari Asia Barat, kebetulan ada orang yang ingin menjual kedai hidangan tersebut.

Sehubungan itu, kedai berkenaan dibeli olehnya dan diuruskan bersama suami serta anak-anak dengan menamakannya sebagai Kafe Kambing Kacak.

“Harga ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula RM5 sehingga RM105 iaitu pakej keluarga untuk hidangan lapan orang makan,” tuturnya yang berasal dari Bandar Baru Kulim, Kedah.

Kafe Kambing Kacak boleh memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa sekali gus ia sesuai dijadikan lokasi untuk pelbagai majlis sambutan seperti hari lahir, meraikan kenalan lama dan jamuan sempena akad nikah.

Restoran itu juga menawarkan perkhidmatan katering seperti majlis perkahwinan, pertunangan dan jamuan korporat.

Pada masa akan datang, Kak Yah bercadang membuka sebuah lagi cawangan di Nilai, Negeri Sembilan bagi menampung permintaan di kawasan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI