fbpx

Anugerah pembakar semangat Baddrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADDROL berharap anugerah Pemain Terbaik Sedekad diterimanya akan terus membakar semangatnya menyumbangkan sesuatu buat KDA FC musim ini.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

ANUGERAH Pemain Terbaik Sedekad 2011-2020 yang diterima oleh kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar baru-baru ini disifatkan oleh pemain itu sebagai suatu pengiktirafan yang cukup besar sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

Menurut kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu, anugerah tersebut akan menjadi sesuatu yang akan dikenang sepanjang hayatnya dan dia amat berterima kasih kepada para peminat yang mengundi dirinya untuk menerima anugerah itu.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pe­ngurusan serta Presiden Persa­tuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk terus berada dalam pasukan musim ini.

“Insya-Allah, anugerah ini akan terus membakar semangat saya untuk memberikan yang terbaik agar dapat menyumbangkan sesuatu buat pasukan musim ini,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Pemilihan pemain berusia 32 tahun itu dibuat oleh ribuan peminat menerusi undian secara dalam talian yang dikelolakan KFA bersama penaja, Lotto My bermula 29 Disember lalu.

Baddrol tetap setia bersama Kedah sejak mula menyertai skuad ‘Hijau Kuning’ pada 2005, biarpun telah beberapa kali me­nerima tawaran dari pasukan lain.

Sepanjang bersama Kedah, pemain itu telah membuat 355 penampilan, meledak 116 gol serta membantu pasukan meraih dua trofi Liga Super dan Liga Premier, empat Piala Malaysia, tiga Piala FC serta satu Piala Sumbangsih.

Mengulas tentang persiapan pasukan KDA FC musim ini, ­Baddrol berkata, suasana dalam pasukan melibatkan pemain baharu dan lama dilihat cukup harmoni.

“Seperti biasa, kami sentiasa ceria setiap kali turun menjalani latihan. Diharapkan keadaan ini dapat membawa sesuatu yang positif kepada pasukan apabila liga bermula nanti.

“Mengenai keserasian secara keseluruhan di padang, mungkin terlalu awal untuk membuat perbandingan dengan skuad musim lalu. Tetapi kami masih ada tempoh kira-kira dua bulan untuk memulakan saingan liga dan insya-Allah, kami akan lakukan yang terbaik untuk memantapkan pasukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI