fbpx

Olahan klasik moden signatur Zachrin Jaafars

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUSANA yang diberikan sentuhan klasik moden ini tampak mempesonakan.

MEMPERTARUHKAN rekaan klasik moden yang diinspirasikan daripada busana tradisional Melayu memberi kelainan pada setiap rekaan Zachrin Jaafars.

Dia yang menawarkan rekaan pakaian termasuklah busana pengantin, persalinan sedia dipakai dan sebagainya pasti akan menyuntik elemen klasik moden dalam setiap koleksi tersebut.

Menurut Zachrin, dia sangat tertarik dengan kesenian dan kebudayaan tradisional Melayu yang memberikan cetusan inspirasi dalam setiap rekaannya yang diolah gaya moden.

“Saya suka melancong dan mengkaji budaya tempatan yang memperkaya lagi pengetahuan mengenai perkara ini.

“Kebetulan pula, saya membuka butik di kampung halaman iaitu di Slim River, Perak dan mempunyai orang yang pakar dalam membuat sulaman tangan tradisional Melayu,” kata pereka itu yang nama dan jenamanya berkongsi nama serupa.

Tambah Zachrin, dia menggemari rekaan moden dan klasik lantas mengambil keputusan untuk menggabungkan kedua-dua elemen tersebut sehingga menjadi signatur dalam rekaan jenama Zachrin Jaafars sejak enam tahun lalu.

Kebaya rekaan polos dan ringkas ini sesuai digayakan bersama tas tangan kecil.

Jelas Zachrin, setiap tahun dia akan menghasilkan baju-baju yang diinspirasikan daripada busana Melayu seperti kebaya panjang dan kurung.

Rekaan klasik itu turut disuntik ke dalam busana pengantin dan persalinan harian atau ke majlis-majlis rasmi mahupun santai.

“Setiap tahun saya akan mengeluarkan koleksi yang diinspirasikan daripada busana Melayu dengan memberinya nafas baharu.

“Kesemua rekaan saya mengambil falsafah yang terdapat dalam kebudayaan Melayu,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara itu.

Walaupun setiap tahun baju kebaya panjang dan kurung dihasilkan, namun ia sentiasa mempunyai kelainan tertentu dengan sentuhan konsep berbeza.

Zachrin memberitahu, dia mengekalkan rupa asal busana tersebut tetapi memodenkan cara pemotongannya agar lebih kemas dan terletak cantik di badan dengan tetap mengekalkan ciri kesopanan.

“Kesemua rekaan saya tidak bercorak dan dibiarkan polos tetapi diperindahkan dengan perincian sulaman tangan.

“Saya menggunakan teknik sulaman tradisional Melayu seperti sulaman goyang dan ada yang diinspirasikan daripada sulam tekat,” tuturnya.

Ujarnya lagi, rekaan klasik moden merupakan trend terkini yang semakin digilai ramai.

Mengulas mengenai rekaan busana pengantin, Zachrin berkata, dia menghasilkan persalinan berkonsep klasik moden yang tidak terlalu sarat.

Ini bersesuaian dengan situasi semasa ekoran pandemik Covid-19 apabila kebanyakan orang mahukan busana yang tidak terlalu sarat, namun selesa, sopan dan praktikal untuk majlis akad nikah atau kenduri kecil-kecilan bersama keluarga terdekat.

Zachrin berharap rekaan klasik moden terus diterima baik pelbagai lapisan masyarakat serta dapat membawa keindahan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI