SAMARAHAN – Sembilan mangsa termasuk seorang bayi dilaporkan mati lemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjatuh dari feri Triso di Jalan Beladin Triso di sini, hari ini.
Menurut Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 3:10 petang.
Semasa kejadian, seorang pengguna Facebook bernama “Dyg Junailah Ieyent” membuat rakaman video secara langsung dan ia telah tular dikongsikan oleh warganet.
“Video berdurasi tujuh minit 15 saat tersebut menunjukkan kesemua lapan mangsa yang terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dengan bantuan feri dan juga jentolak di lokasi.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ada juga orang awam yang dilihat memberi bantuan CPR ke atas mangsa di tebingan wharf feri,” katanya dalam satu laporan.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang diketuai oleh PBK II (KUP) Yusuf Jenamin dan BBP Simunjan yang diketuai oleh PBK II Trajudin Mail telah bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.14 petang.-K!ONLINE