PETALING JAYA – Suspek utama yang melepaskan tembakan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan hutan berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis akan didakwa dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Jijun’ itu akan didakwa bersama lima yang lain termasuk empat warga Thailand.
Pendakwaan dijangka dibuat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan cubaan membunuh.
“Setakat ini, seramai 53 individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup pada 24 November lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 10 suspek dibebaskan dengan jaminan polis, enam bakal didakwa manakala 36 suspek lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya dalam wawancara khas bersama Kosmo! di Bukit Aman di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Sarjan Baharuddin Ramli meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan sepasukannya, Sarjan Norihan Tari dilaporkan parah.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, sebelum kejadian, empat suspek warga Thailand yang terlibat dalam kejadian itu dikatakan sempat makan malam di rumah ketua mereka yang dikenali sebagai Ghani.
“Selepas selesai makan, mereka masuk ke kawasan hutan untuk mengambil guni berisi daun ketum sebelum terserempak dengan dua anggota PGA tersebut.
“Panik semasa terserempak dengan pihak berkuasa dikatakan punca berlakunya insiden berbalas tembakan tersebut,” katanya.
Kosmo! pada 25 November lalu melaporkan seorang anggota PGA mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan 13 penyeludup ketum dan ubat batuk di kawasan hutan berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Baharuddin, 54, daripada Batalion 3 PGA Bidor meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan manakala Norihan, 39, parah.
Ketika kejadian, dua anggota itu sedang menjalankan operasi risikan di kawasan pintu A3, Pos TS9 sebelum terserempak dengan kumpulan penyeludup tersebut.
Lokasi kejadian itu terletak kira-kira 600 meter dari tembok sempadan dipercayai laluan aktif bagi kegiatan penyeludupan.














