fbpx

Cahaya mata kembar tiga IVF rezeki PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHELMY (kiri) dan Zalila (kanan) bersama tiga bayi mereka (dari kiri) Aydan, Ayra dan Aydeen ketika ditemui di Jelebu semalam.

JELEBU – Mungkin 8 Mac lalu hanya merupakan tarikh biasa bagi kebanyakan orang lain berikutan bermulanya penguatkuasaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Namun, tarikh tersebut merupakan detik paling manis buat pasangan suami isteri, Suhelmy Zakaria, 40, dan Zalila Ismail, 37, selepas mendirikan perkahwinan sejak 14 tahun lalu.

Pada tarikh berkenaan, Zalila menjalani proses pemindahan embrio bagi rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) buat kali kedua setelah rawatan kali pertama di sebuah hospital swasta di Shah Alam tidak membuahkan hasil pada tahun 2017.

Pasangan suami isteri ini dikurniakan cahaya mata kembar tiga terdiri daripada seorang bayi perempuan dan dua lelaki yang digelar Kakak, Abang dan Adik.

Tiga beradik itu dilahirkan secara pembedahan caesar pada usia 32 minggu empat hari iaitu pada 14 Oktober lalu.

Luthfiya Ayra seberat 1.4 kilogram (kg) dilahirkan pada pukul 1.02 petang, Muhammad Luthfi Aydan seberat 1.3 kg (1.04 petang) dan Muhammad Luthfi Aydeen seberat 1.5 kg pada pukul 1.07 petang.

Menurut Zalila, bayi tripletnya itu terpaksa dilahirkan sebelum waktunya iaitu pada 5 Disember lalu susulan bacaan denyutan jantung bayi tiba-tiba rendah.

“Aydeen dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi rawatan selama 23 hari di­ikuti kakak dan abangnya yang menjalani rawatan di unit ber­kenaan selama 32 hari sebelum dibenarkan pulang.

“Kini, Alhamdulilah pada usia hampir tiga bulan, ketiga-tiganya sudah mencecah berat 3 kg,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Durian Ga­sing, Jelebu, dekat sini semalam.

Zalila ketika ditanya pengalaman sebelum dikurniakan zuriat berkata, dia dan suaminya sudah mencuba pelbagai kaedah baik secara saintifik melalui perubatan serta ubat-ubatan mahupun tradisional melalui urutan bagi mendapatkan cahaya mata.

“Saya sertai grup IVF di Facebook dan terbaca mengenai kejayaan sepasang suami isteri setelah mendapatkan rawatan IVF di PPUM awal tahun ini. Jadi, saya dan suami nekad mencuba buat kali kedua pada Januari 2020 dan mula menjalani rawatan pada awal Mac.

“Daripada 12 telur yang dikeluarkan dari ovari untuk proses disenyawakan, enam daripada­nya berjaya disenyawakan dan pada 18 Mac lalu, dua daripada embrio berkenaan dimasukkan ke dalam rahim saya,” ujarnya.

Sementara itu, Suhelmy berkata, dia berasa sangat ber­syukur apabila doa mereka suami isteri untuk dikurniakan zuriat sebagai penyeri keluarga termakbul pada Oktober lalu.

Menurutnya yang bekerja sebagai kakitangan Jabatan Kesihatan, pelbagai cabaran serta dugaan ditempuh mereka berdua terutamanya bagi meneruskan rawatan semasa negara ini dilanda pendemik Covid-19 sejak awal tahun 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI