PETALING JAYA – Seramai 347 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 337 individu dikompaun manakala 10 lagi direman.
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah, aktiviti pusat hiburan (135) serta tidak memakai pelitup muka (109).
“Kesalahan lain pula adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 43,798 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam pada itu, Operasi Benteng turut berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima buah kenderaan darat. – K! ONLINE














