fbpx

226 dipindahkan Kampung Sentosa Damai dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang yang ditenggelami air akibat hujan lebat petang tadi. - Foto IHSAN BOMBA

JOHOR BAHRU – Seramai 226 orang daripada 48 keluarga di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas paras air naik mendadak di kawasan tersebut hari ini.

Kesemua mangsa banjir itu dipindahkan ke Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru yang dijadikan PPS dengan bantuan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang.

Komander Operasinya, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung bencana banjir kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, seramai 15 anggota telah dihantar ke tempat kejadian bersama dua jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah van utiliti susulan panggilan kecemasan diterima.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku banjir mencecah paras tiga meter.

“PKO bertindak membantu memindahkan kesemua 226 mangsa banjir ke PPS Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa banjir yang dipindahkan membabitkan 89 dewasa, 130 kanak-kanak, dua bayi dan lima orang warga emas.

Operasi ditamatkan kira-kira pukul 9.30 malam.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI