fbpx

Pengasuh taska punca kluster Rambai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHMAD Mariman (tengah) ketika membuat lawatan pamatuhan prosedur operasi standard Covid-19 di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

MELAKA – Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di kawasan Bukit Rambai di sini dikesan sebagai pencetus kluster Rambai yang kini telah menyebabkan 12 individu termasuk seorang bayi disahkan positif Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman, berkata, pengasuh itu disyaki dijangkiti Covid-19 selepas pulang dari melawati saudaranya di zon merah di Selangor.

Jelasnya, jangkitan itu turut menyebabkan keluarga wanita berkenaan serta kanak-kanak yang di bawah asuhannya termasuk seorang bayi dijangkiti wabak Covid-19.

“Keadaan masih terkawal dan kita juga telah mengarahkan tadika itu ditutup untuk tujuan pembersihan dan proses disinfeksi.

“Kebanyakan peningkatan kes di negeri bukan disebabkan jangkitan tempatan tetapi mereka yang telah datang dan pulang dari zon merah, namun tidak menitikberatkan pematuhan SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan pematuhan SOP di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam), Dr. Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Ujarnya, setakat ini seramai 102 individu telah disaring dengan 12 daripada mereka disahkan positif, manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa kononnya pengunjung yang datang ke zoo berkenaan pada minggu lalu diarahkan untuk membuat ujian calitan Covid-19.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut dan berita tersebut dipercayai ditularkan secara sengaja bagi menakutkan pelancong luar untuk datang ke pusat konservensi haiwan itu.

“Sehingga kini belum ada sebarang jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di zoo dan pihak KKM akan terus memantau lokasi-lokasi pelancongan dan tumpuan ramai di negeri ini bagi memastikan pengunjung mematuhi arahan seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI