fbpx

Kelibat Joki Timba muncul waktu dinihari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI laluan inilah, ada penunggang motosikal mendakwa terserempak dengan kelibat Joki Timba menunggang motosikal sambil membawa dua timba dalam kelajuan tinggu pada waktu dinihari.

CERITA mistik yang dikaitkan dengan kematian seorang penjual air soya yang diberi jolokan Joki Timba di Balik Pulau, Pulau Pinang pernah menjadi buah mulut dalam kalangan penduduk negeri ini terutama kumpulan penunggang motosikal sekitar tahun 1980-an hingga 90-an.

Timba dalam loghat Utara membawa maksud baldi atau bekas mencedok air di perigi, joki pula gelaran untuk penunggang motosikal yang handal berlumba di trek atau jalanan.

Kemalangan tragis yang didakwa menimpa lelaki itu semasa dalam perjalanan membawa dua timba berisi air soya sehingga kini masih terpahat dalam ingatan anak jati Pulau Mutiara terutama penduduk di daerah Barat Daya.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Bukit Lama, Balik Pulau ke Teluk Bahang.

Dalam kejadian itu, dia dipercayai maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Nama Joki Timba dikatakan diberi berikutan kehandalan lelaki itu berulang-alik menunggang motosikal di selekoh tajam dan di laluan bengkang-bengkok dengan tahap kelajuan tinggi setiap hari sambil menggantungkan timba berisi air soya pada bahagian kiri dan kanan motosikalnya.

Seorang penduduk, Imran Hilmy Tawfik Hilmy ,42, berkata, kisah seram mengenai Joki Timba hangat diperkatakan sejak di bangku sekolah rendah lagi pada tahun 1980-an dan ketika itu, nama Joki Timba sering bermain di bibir dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga sewaktu menyusuri laluan bukit yang gelap dan bengkang-bengkok di sepanjang Jalan Bukit Lama dari Teluk Bahang hingga Balik Pulau.

“Menjadi rutin pada setiap malam minggu, kami dengan beberapa geng motosikal lain akan ‘pusing’ satu pulau (Balik Pulau ke pusat bandar George Town) sehingga pagi. Ketika itu, masing-masing mempamerkan kehandalan menunggang motosikal di selekoh tajam.

“Jalan lama itu (Teluk Bahang ke Balik Pulau) sangat digeruni dalam kalangan penunggang motosikal. Selain menjadikan laluan berani mati ketika berlumba haram atau trek panas untuk pamer kehebatan menunggang motosikal, terpendam juga rasa bimbang dan seram dengan kemunculan hantu Joki Timba.

“Pernah ada antara kami mendakwa terserempak dengan sebuah motosikal yang digantung timba pada kiri dan kanannya meluncur laju di selekoh tajam selepas turun bukit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 

KEBANYAKAN penduduk takut untuk melalui laluan ini pada waktu malam ekoran cerita seram diperkatakan umum.

Dakwa Imran lagi, kelibat motosikal tanpa memperlihatkan sebarang bentuk wajah itu dikatakan mempunyai kaitan dengan cerita mistik hantu Joki Timba yang ditemui mati dalam keadaan tragis suatu ketika dulu.

“Pengkisahan mistik tentang hantu Joki Timba itu juga didakwa mempunyai pelbagai sudut jalan penceritaan.

Kemunculan kelibat seorang lelaki tua berbaju putih di tepi jalan Titi Kerawang, Balik Pulau yang menegur penunggang motosikal di selekoh itu juga turut dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit.

“Mitos di sebalik kejadian sebenar yang berlaku bagaimanapun masih menjadi persoalan hingga kini dan menjadi igauan pengguna yang berdepan rasa gelisah dan meremang bulu roma sebaik menyusuri jalan itu,” tambahnya.

Sementara itu, menerusi akaun YouTube Warehouse Production dipercayai milik Chombi Lisa, wanita itu turut berkongsi pengalaman terserempak dengan kelibat Joki Timba yang memakai baju pagoda putih dan berseluar jean ketika melalui jalan tersebut.

Dakwa wanita itu, kejadian berlaku sewaktu dia berusia dalam lingkungan 19 dan 20-an ketika melalui laluan berkenaan bersama lima rakannya dari Batu Ferringhi menghala ke empangan Teluk Bahang.

 

IGAUAN bertemu Joki Timba menghantui pengguna ketika melalui bukit yang gelap dan banyak selekoh sepanjang bukit lama dari Teluk Bahang ke Balik Pulau pada lewat malam.

 

“Ada satu jalan nak (hendak) naik ke atas. Naik naik kona (selekoh) atas…laju ni…bukit…ada sebuah motor (motosikal) datang laju dan potong kami yang naik Yamaha Lagenda lama.

“Tak apa lagi, kami dah sampai, motor EX5 yang sama mai (datang) balik bawa tong-tong semua. Tak mustahil motor sama, hang nak mai laju. Tiga kali, empat kali lalu duk kata tong sama.

“Kami nampak lampu dari belakang dari bawah bukit, macam rasa kena hambat (kejar). Tengok motor sama naik kali kelima. Sewaktu kona di titi gantung (Titi Kerawang) tempat depa (mereka) makan durian, datang motosikal dari tepi dan tengok tiada kepala, timba di tengkok,” kongsinya menerusi video berdurasi 12 minit 48 saat itu.

Wanita itu juga mendakwa dua kali terserempak kelibat Joki Timba pada tahun sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI