fbpx

Enam kes guna alat renjatan elektrik dikesan dalam tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alat renjatan elektrik yang ditinggalkan di kawasan sawah selepas kegiatan menangkap ikan menggunakan alat itu dikesan pihak berkuasa.

KOTA BHARU- Enam kes melibatkan kegiatan menangkap ikan menggunakan alat renjatan elektrik dikesan berlaku di beberapa daerah di negeri ini dalam tempoh tiga hari.

Dalam kejadian pada hari Rabu hingga kelmarin itu, seramai lebih 10 orang suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa yang menjalankan Ops Darat di daerah Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, kes pertama berlaku di kawasan sawah padi di Kampung Hutan Buloh dekat Melor di sini pada pukul 9 malam Rabu lepas.

“Ia diikuti kegiatan di kawasan sawah di Kampung Morak, Tumpat, pukul 10 malam dan di tali air di Kok Lanas di sini pada pukul 11.30 malam pada hari yang sama.

“Kegiatan sama turut berlaku di tali air di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas dan Kampung Selising, Pasir Puteh, pada hari Khamis antara pukul 10 dan 12.30 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Nazri, kes terakhir pula dikesan di kawasan sawah padi Kampung Mokkan, Bachok pada pukul 2.30 pagi kelmarin.

Katanya, anggota Jabatan Perikanan turut merampas enam buah alat renjatan elektrik yang digunakan untuk menangkap ikan di keenam-enam lokasi itu.

Tambahnya, beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penggunaan alat renjatan elektrik untuk menangkap ikan supaya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI