fbpx
GAMBAR HIASAN

Misi balik kampung, keluarga patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SITI KAMILAH MUSTAPHA, PENOLONG PENGARANG BERITA KOSMO!

Sejak pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara pada 7 Disember lalu, maka ramailah sudah merancang untuk balik kampung dan ke destinasi percutian.

Masakan tidak, terperuk dalam rumah selama hampir tiga bulan bukan sesuatu yang mudah terutama bagi yang ada anak kecil.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat itu anak-anak memang berada di rumah sepanjang masa ­ke­rana tidak dibenarkan ke sekolah malah ke pusat asuhan.

Selain terpaksa mengikuti kelas online setiap pagi pada Isnin hingga Jumaat, selebihnya sudah tentu dihabiskan dengan bermain sahaja.

Itulah hakikatnya dan mustahil sepanjang hari ba­nyak perkara berfaedah dilakukan oleh mereka.

Berbalik kepada misi balik kampung selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan, penulis salah seorang­nya yang turut menanda cuti bagi membawa anak balik kampung.

Sebelum penulis menyuarakan hasrat balik kampung, anak-anak­ terlebih dahulu menyatakan perkara itu apabila melihat jiran-jiran lain sudah balik berjumpa nenek dan datuk masing-masing.

Pertimbangan balik ke kampung dibuat sedalam-dalamnya memandangkan Covid-19 masih banyak kes dan setiap hari seolah-olah ada saja kluster baharu.

Betul kata seorang teman yang bekerja dengan klinik kesihatan, “kita tidak tahu virus Covid-19 ada dalam badan kita kalau tidak dibuat ujian calitan.”

Penulis membuat keputusan balik kampung jika anak-anak setuju dengan syarat yang dipersetujui iaitu kita tidak akan berhenti di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat kecuali untuk mengisi petrol sahaja.

“Jadi sepanjang perjalanan lima jam, jangan ada yang hendak ke tandas atau sebagainya, jangan minum air banyak selagi belum sampai ke kampung,” kata penulis kepada anak-anak.

Bukan mahu terlalu tegas atau kejam kerana mereka terpaksa tahan untuk ke tandas, tetapi memikirkan virus Covid-19 ada di mana-mana dan ia akan membahayakan ramai pihak jika kita tidak menjaga pergerakan kita.

Jika tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan sebagainya, kita bukan sahaja membahayakan nyawa keluarga sebaliknya rakan-rakan di pejabat.

Penularan Covid-19 paling banyak merebak melibatkan tempat kerja kerana kawasan itu paling lama kita berada dan kita semua berkongsi tandas dan kawasan sekitar yang sama.

Balik kampung atau bercuti itu boleh tetapi batas-batas bergaul dan bergerak perlu dihadkan dalam norma baharu, tiada lagi cium tangan, peluk cium dan elak tempat yang sesak, kita jaga kita dan semua.-K! ONLINE

 

POPULAR