fbpx

Kilang arang briket tanpa lesen disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Khalim Abu Samah menunjukkan setiap kotak yang berisi arang briket seberat 10 kilogram yang sudah siap dibungkus untuk dieksport ke luar negara.

GUA MUSANG – Jabatan Perhutanan Kelantan menyita sebuah kilang memproses arang briket yang menjalankan operasi tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Gua Musang di sini kelmarin.

Selain kilang, sebanyak 13,199 kotak berisi arang briket bernilai lebih RM527, 960 yang siap diproses, jentera dan peralatan seperti tanur atau dapur arang yang digunakan untuk memproses arang turut dirampas.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, siasatan mendapati kilang itu dipercayai beroperasi secara haram untuk memproses arang briket sejak sembilan bulan lalu.

Jelasnya, Jabatan Perhutanan Kelantan mengesan operasi haram kilang itu selepas pihak pengurusan syarikat gagal mengemukakan dokumen yang diminta berkaitan operasi pada pukul 11.30 pagi kelmarin.

“Sebelum ini, kita meminta pihak kilang memohon lesen operasi, namun mereka masih gagal berbuat demikian sehingga kita terpaksa menyita kawasan itu.

“Kesalahan syarikat itu beroperasi secara haram tidak boleh dikompaun dan kita akan dakwa di mahkamah selepas kertas pertuduhan disiapkan pegawai penyiasat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kilang terbabit hari ini.

Menurut Abdul Khalim, berdasarkan siasatan awal, kilang itu menghasilkan produk arang briket untuk dieksport ke pasaran luar negara seperti Australia dan negara Timur Tengah.

Katanya, arang briket itu mendapat permintaan tinggi dari negara yang mempunyai suhu sejuk ketika ini apabila sekotak arang seberat 10 kilogram boleh dijual pada harga RM40.

“Kita mengakui kilang memproses arang briket berasaskan habuk kayu itu amat baik kerana ianya tidak mencemarkan kualiti udara.

“Arang itu juga tidak mengeluarkan asap yang banyak selain dapat memanfaatkan habuk kayu daripada kilang memproses papan,” katanya.

Katanya, pembakaran arang itu juga mampu bertahan dalam tempoh yang lama iaitu kira-kira tiga sehingga lima jam sebelum padam berbanding arang biasa.

Tambahnya, syarikat itu akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1986 di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI