fbpx

40,000 masuk Langkawi hujung minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung terpaksa beratur panjang untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi di pintu masuk utama Terminal Feri Kuala Perlis semalam. – Foto Shahir Noordin

LANGKAWI – Konsortium Ferry Line Ventures bersedia mening­katkan perjalanan feri ke Langkawi apabila mencatatkan pertambahan mendadak jumlah penumpang kepada kira-kira 40,000 orang pada hujung minggu iaitu dari Jumaat hingga Ahad sejak awal bulan ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Baharin Baharom memberitahu, jumlah penumpang didapati meningkat lebih 14 kali ganda berbanding tempoh sama pada bulan lalu iaitu kira-kira 2,800 orang.

“Langkawi kembali ­meriah apabila orang ramai mula ber­kunjung ke sini selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada awal bulan ini.

“Bagi menampung jumlah penumpang, kita bersedia untuk menambah kekerapan operasi feri iaitu daripada enam perjalanan pergi balik antara Kuala Kedah-Langkawi dan lapan perjalanan pergi balik Kuala Perlis-Langkawi kepada sehingga 12 perjalanan,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Konsortium Ferry Line Venture menggabungkan tujuh syarikat yang mempunyai 48 buah feri.

Ujar beliau, operasi feri di dua terminal iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis mampu menampung lebih 20,000 penumpang sehari.

“Kebanyakkan penumpang didapati adalah dari Johor diikuti dari Perak, Kedah dan Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya, perjalanan feri masih boleh ditingkatkan, namun kerajaan perlu menyelesaikan masalah laut cetek di alur pelayaran berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis terlebih dahulu.

“Operasi feri kerap terganggu disebabkan masalah untuk menghampiri terminal setiap kali berlaku air surut,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pembelian tiket feri secara atas talian juga meningkat secara mendadak iaitu mencecah 86 peratus daripada jumlah keseluruhan tiket yang dijual.

“Perubahan positif itu juga mampu mengurangkan kesesakan di kaunter pembelian tiket selain lebih mudah dan cepat,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI