fbpx
Zarmayade (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas tiga tahun lalu.

‘Keputusan setimpal, jadikan pengajaran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – “Keputusan mahkamah setimpal dengan perbuatan tertuduh dan ia perlu menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak mudah me­lakukan pembunuhan.”

Itu kata anak sulung kepada seorang wanita warga emas, Rokiah Mamat, 61, yang mati dibunuh dalam kejadian samun dekat Kuala Krai tiga tahun lalu.

Anak arwah, Che Hasmahadi Che Hasan, 45, berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki, Zarmayade Abdullah, 44, selepas didapati bersalah membunuh Rokiah di rumahnya.

“Arwah ibu seorang yang baik hati. Sepanjang hayatnya, dia suka bersedekah terutamanya kepada penduduk kampung, surau dan masjid.

“Tergamak pembunuh itu membunuh ibu. Saya tahu, jika tertuduh meminta barangan atau wang, ibu pasti akan beri kepada lelaki itu, tidak perlulah sampai mahu membunuh,” kata Che Hasmahadi ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam.

Terdahulu di Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati, pihak pembelaan yang mewakili Zarmayade gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh telah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selepas hukuman dijatuhkan, Zarmayade dilihat tenang sebelum bersalaman dengan seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya yang hadir pada prosiding tersebut.

Mengikut pertuduhan, Zar­ma­­yade didakwa membunuh Ro­kiah di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada dekat Kuala Krai di antara pukul 11 pagi hingga 3.30 petang pada 12 April 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Ne­geri Kelantan, Datuk Jamil Arifin, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Abdullah Thani.

Sebelum ini akhbar melaporkan, Rokiah ditemui dalam kea­daan berlumuran darah dipercayai disamun sebelum dibunuh di rumahnya di Kampung Mengkebang.

Mangsa ditemui mati oleh anak keduanya yang bertugas sebagai seorang guru ketika pulang mengajar pukul 3.30 petang.

Susulan kejadian itu, tertuduh yang juga berasal dari Kuala Krai ditahan polis di sekitar daerah itu.

Polis turut menemui sebentuk cincin emas dipercayai milik mangsa bersama suspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN