fbpx

K2

Memeriksa gigi jasad tak bernyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAW menyifatkan kerjaya sebagai pakar forensik pergigian sebagai mencabar dan kurang diceburi masyarakat.- Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

KAGUM rasanya tatkala pertama kali bertentang mata dengan pakar forensik pergigian, Dr. Rabi’ah Al-Adawiyah Rahmat, 33, di Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada usia yang sangat muda, wanita kelahiran Seri Kembangan, Selangor ini sudah berkecimpung dalam profesion yang mencabar dan tidak diceburi ramai dalam kalangan masyarakat negara ini.

Bukan sahaja merupakan pakar forensik pergigian ketujuh negara, wanita yang lebih senang dipanggil Adaw ini juga merupakan satu-satunya pakar forensik pergigian yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang forensik asid deoksiribonukleik (DNA) di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Saya suka sesuatu yang mencabar. Sebab itu saya memilih bidang forensik pergigian.

“Sebelum ini saya merupakan seorang pegawai pergigian di Kementerian Kesihatan. Saya pernah bertugas di Klinik Pergigian Senawang dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan selama dua tahun.

“Begitupun, hampir dua tahun berkhidmat, saya cuba mencari ruang yang lain untuk diterokai.

“Ini kerana, pada waktu itu, saya sukar membayangkan diri ini sekadar duduk di kerusi dan melakukan pemeriksaan gigi biasa bagi satu tempoh yang sangat lama,” ceritanya membuka bicara kepada K2 lewat petang itu.

Ketika sibuk mencari jawapan mengenai perjalanan kariernya, anak ketiga daripada enam beradik itu terbaca mengenai bidang forensik pergigian.

KAEDAH forensik pergigian selalunya digunakan untuk kes-kes yang mangsanya sudah tidak dapat dikenal pasti.- Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Pertama kali membaca tentang forensik pergigian, Adaw akui dia merasakan bidang itu begitu dekat dengan jiwanya yang sukakan sesuatu yang baharu dan mencabar.

“Pada waktu itu tidak banyak yang diketahui mengenai forensik pergigian. Jadi saya mula menggali maklumat sehingga dipertemukan dengan pakar forensik pergigian pertama negara, Profesor Dr. Phrabhakaran Nambiar.

“Pada tahun 2014, saya mula menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya selama setahun sebagai pegawai pergigian selain melakukan attachment di bilik mayat.

“Biarpun pada awalnya keputusan saya untuk menyertai bidang forensik pergigian diragui beliau, namun saya berjaya membuktikan kepadanya apabila kini merupakan pakar forensik pergigian dan turut mempunyai kepakaran dalam forensik DNA,” katanya sambil tersenyum manis.

Niat membantu mangsa, waris

Adaw juga merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pergigian Universiti Malaya dan membuat kerja-kerja klinikal di bilik mayat jika kepakarannya diperlukan.

Selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari Vinayaka Missions University, India pada tahun 2011, Adaw menyambung pengajian Diploma Forensik Pergigian pada tahun 2015 di Universiti Adelaide, Australia sebelum mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan DNA pergigian forensik setahun kemudian di University of Australia.

Biarpun kini Adaw ‘memeriksa’ gigi individu yang sudah tidak bernyawa, wanita ini akui dia langsung tidak berasa takut atau serik.

Sebaliknya, dia begitu teruja dan menjadi lebih bersemangat untuk melakukan proses identifikasi mangsa.

“Bidang ini jauh lebih menarik daripada pemeriksaan gigi biasa yang dilakukan di klinik pergigian.

“Forensik pergigian bukanlah bidang baharu di negara ini, namun pendedahannya tidak meluas sebagai mana bidang perubatan dan forensik yang lain.

“Niat saya adalah untuk membantu mangsa dan waris mereka bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa terutamanya individu yang maut dalam nahas, penderaan dan kes bunuh yang wajahnya sudah tidak boleh dikenal pasti,” terangnya.

ADAW semasa melakukan simulasi mendapatkan tulang rahang mangsa kebakaran untuk tujuan identifikasi dalam satu kolaboratif bersama South Australian Police, South Australia Country Fire Service dan South Australia Metropolitan Fire Service.

Bercerita lanjut, menurut Adaw lagi, khidmat forensik pergigian selalunya diperlukan untuk mengesan identiti mayat atau mangsa yang sudah tidak dapat dikenal pasti.

“Secara amnya, terdapat tiga kaedah digunakan untuk mengenal pasti identiti mangsa atau mayat iaitu kaedah forensik menerusi DNA, forensik menggunakan cap jari dan forensik pergigian.

“Selalunya rekod pergigian diperlukan jika DNA dan cap jari tidak dapat diperoleh daripada mayat.

“Begitupun, kaedah forensik pergigian paling mudah digunakan dan keputusannya boleh diketahui dalam masa satu hari berbanding dua kaedah lain yang memerlukan masa seminggu atau lebih bergantung kepada kes,” katanya.

Terang Adaw lagi, kebanyakan kes kematian yang memerlukan kaedah forensik pergigian ialah kes kebakaran, mangsa penderaan, bencana dan lain-lain lagi yang mana wajah si mangsa sudah mereput, kembung atau terbakar sehingga sukar untuk dikenali identitinya.

WANITA berwibawa ini juga merupakan pensyarah di Fakulti Pergigian UM.

Selain identifikasi mayat yang tidak dikenali, kes-kes lain yang dirujuk pada forensik pergigian termasuk kes penganggaran umur individu hidup daripada pelbagai agensi kerajaan seperti polis, imigresen, penjara dan mahkamah, juga termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pendaftaran lewat kelahiran.

MH17

“Sekarang ini sudah banyak kes yang mana mangsa dikenal pasti menerusi kaedah identifikasi pergigian.

“Antara kes-kes di Malaysia yang menggunakan kaedah ini ialah runtuhan Highland Tower, MH17 dan kisah penculikan serta pembunuhan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong.

“Di luar negara pula, kes-kes yang menggunakan kaedah ini ialah pengeboman di Bali pada tahun 2002, tsunami dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, kes terbesar yang pernah dikendalikannya ialah nahas MH17 pada tahun 2014 yang mana dirinya perlu mengesahkan identiti mangsa nahas rakyat tempatan menggunakan rekod pergigian mangsa.

“Biasanya untuk kes melibatkan kematian yang tidak dapat dikenal pasti, pihak berkuasa akan memanggil kami ke bilik mayat untuk membuat bedah siasat.

“Pertama sekali kami akan mengambil gambar wajah si mangsa dan gigi untuk melakukan teknik superimpose. Gigi mangsa akan diperiksa bagi mengesan apa-apa yang mencurigakan. Selain gigi, rahang dan bentuk struktur gigi juga akan diperiksa kerana di situ bangsa mangsa boleh dikenal pasti,” jelasnya.

Tambahnya lagi, imbasan x-ray akan dilakukan dan kesemua rekod akan dikumpul.

Pegawai akan menulis rekod yang ditemui daripada hasil bedah siasat sebelum menganalisis kes dan merujuk kepada rekod pergigian mangsa bagi pengesahan identiti.

“Sepanjang lebih lima tahun di dalam bidang ini, kes melibatkan nahas pesawat MH17 paling saya tidak dapat lupakan kerana bukan sahaja berjaya mengesan kesemua identiti mangsa menggunakan kaedah forensik pergigian, malah banyak memberi pengalaman menarik dalam karier ini,” katanya.

Begitupun Adaw berasa ralat memandangkan masih ramai lagi masyarakat tidak didedahkan dengan kepentingan bidang forensik pergigian dan pentingnya memiliki rekod pergigian.

“Oleh kerana bidang ini dianggap baharu, jadi orang nampak kecil sahaja dan tidak tahu ia sebenarnya penting terutama dalam kes-kes tertentu atau kecemasan. Justeru saya saran orang ramai untuk membuat pemeriksaan gigi supaya anda mempunyai rekod pergigian. Ia bukan sahaja untuk kesihatan oral semata-mata, tetapi mungkin juga boleh membantu anda suatu hari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI