fbpx

Nama Siti Nurhaliza bakal diabadikan di Walk Of Fame Adelaide

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri selepas namanya bakal terpahat di Walk Of Fame di Sungai Torrens, Adelaide, Australia bagi pemilihan edisi 2019.

Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri pelantun 7 Nasihat itu menerusi akaun Instagramnya hari ini.

“Alhamdulillah, terima kasih semua yang menyokong saya tanpa jemu, peminat-peminat saya yang selalu ada dalam susah dan senang. Ini untuk anda yang bersama-sama saya selama ini.

“Nanti kalau ke Adelaide lagi bolehlah saya sambil gambar dengan Walk Of Fame sendiri. Tidak sangka sebenarnya,” ujarnya.

Pengurus kepada Siti iaitu Rozi Abdul Razak turut merakamkan ucapan tahniah kepada penyanyi yang kini sedang hamil anak kedua itu atas kejayaan yang diperolehnya.

“Tahniah bos! Terima kasih peminat-peminat Siti Nurhaliza.

“Ketika beliau ke Adelaide mengadakan konsert solo pada tahun lalu, meski kondisi kesihatannya tidak begitu baik, beliau tetapi tampil yakin penuh amanah hingga ke akhir acara.

“Saya kira ini hadiah buat beliau. Penganjur, penonton dan peminat adalah saksi hidup akan satu kesungguhan. Terima kasih semua.

“Tidak pernah terfikir di Adelaide ada Walk Of Fame Siti Nurhaliza, jauh tetapi itulah perjalanan seseorang. Di mana ada rezeki, di situlah bertapaknya prasasti,” kata Rozi.

Menurut sumber daripada Aussie Theatre, nama Siti berjaya memasuki senarai Walk Of Fame di Adelaide selepas memenangi kategori undian orang awam (People Choice) bagi kategori penyanyi selepas menjayakan konsert sulungnya di Adelaide Festival Center’s (OzAsia Festival) pada tahun lalu.

Sejak dibuka pada tahun 1973, Wall Of Fame diberikan khas kepada penggiat seni yang pernah melakar sejarah di pentas Adelaide Festival Centre.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 130 nama telah terpahat di Walk Of Fame di Adelaide antaranya Guy Sebastian, Jimmy Barnes, Adam Hills, Elizabeth Campbell dan Tina Arena.

Selain Siti, dua lagi nama bintang antarabangsa yang bakal diabadikan di Walk Of Fame bagi tahun 2019 adalah penari, Frances Rings (bawah, kiri) dan pemuzik William Barton (bawah, kanan).

Selain Siti, dua lagi nama bintang antarabangsa yang bakal diabadikan di Walk Of Fame bagi tahun 2019 adalah penari, Frances Rings dan pemuzik William Barton.

Sebanyak 11 nama telah dicalonkan berdasarkan pencapaian mengikut kategori masing-masing dan hanya tiga nama yang dipilih berdasarkan undian.

Terdahulu, pada 7 Disember lalu Siti Nurhaliza telah tersenarai antara 100 selebriti Asia paling berpengaruh dalam media sosial oleh Forbes.com. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI