fbpx

K2

Merungkai misteri ketukan pintu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN misteri ketukan pintu telah menghantui beberapa penduduk di beberapa negeri yang mengalami gangguan itu.

“Siapa pula ketuk malam-malam ini, tidak reti beri salam?” getus hati Saiman Mursid, 64, apabila waktu rehatnya diganggu tanpa sebab pada malam 17 November lalu.

Dia melihat jam di dinding rumahnya menunjukkan pukul 11 malam dan tanpa berfikir panjang bingkas bangun dari bilik tidur meluru ke pintu rumah.

Apabila dibuka tiada pula kelibat orang di kawasan tersebut dan berkemungkinan ada individu yang datang ingin melakukan sesuatu yang tidak elok.

“Saya lihat di lantai pekarangan luar rumah tiada pula bekas kasut walaupun ketika itu tanah di kawasan rumah berlecak disebabkan terdapat air bertakung kerana hujan.

“Bimbang perkara buruk, saya kemudiannya melakukan pemeriksaan mengelilingi luar rumah, namun tidak menemukan apa-apa.

“Saya lebih takut kalau manusia yang buat onar dengan mengaturkan strategi hendak masuk rumah berbanding syaitan. Baca Yasin benda itu hilang,” kata penduduk Kampung 37 Darat, Sabak Bernam, Selangor kepada K2 baru-baru ini.

Menurut Saiman, ketika kejadian ketukan itu berlaku terdapat tujuh ahli keluarganya berada di rumah tersebut yang masing-masing pelik terhadap insiden itu.

Tambahnya, cerita ketukan kemudiannya menjadi kecoh apabila deretan mesej masuk dalam kumpulan aplikasi WhatsApp penduduk yang menyatakan mengalami gangguan sama.

Tambah aneh, katanya, gangguan bunyi ketukan sebanyak tiga kali dengan tempo sama itu turut dialami empat hari kemudian.

“Sakit hati pun ada kena ganggu malam-malam apatah lagi dengan benda yang kita tidak tahu. Tidur pun tidak tenang,” terangnya.

Misteri ketukan itu bukan sahaja berlaku di Kampung Batu 37 Darat, malah kampung berhampiran seperti Kampung 38, Kampung Baharu, Kampung Tengah, Kampung Banting dan Taman Air Manis.

KEADAAN semasa rondaan dilakukan di Kampung Batu 37 Darat.

Insiden tersebut kemudiannya membuatkan daerah Sabak Bernam menjadi popular di seluruh negara biarpun ada melabelkannya sebagai omongan kosong dan karut terutama dalam zaman serba moden ini.

Kejadian sama kemudian dilaporkan ‘berjangkit’ ke Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Sukar diterima akal

Mengimbas kejadian yang bermula di Sabak Bernam itu, penulis semasa diberikan tugasan melakukan tinjauan di Kampung Batu 37 Darat mendapati, gangguan ketukan menjadi perbualan hangat penduduk termasuk di sebuah gerai makan.

“Malam tadi, ada lagi ketukan. Rumah jiran aku kena, bila hendak habis ini,” ujar pengunjung gerai itu yang kegusaran.

Rondaan yang dilakukan bersama penduduk kampung tersebut diketuai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampungnya, Muhammad Nazri Saiman bagaimanapun tidak menemui sebarang penampakan entiti atau kelibat manusia yang melakukan perbuatan itu. Hal tersebut membuatkan ada yang mengaitkannya dengan perbuatan ‘entiti’ lain.

MOHD. SUHAIRI (kanan) menenangkan penduduk ketika kecoh misteri ketukan pintu di Kampung Baharu.

Menurut, Mohammad Salahuddin, 34, perkara melibatkan entiti sukar diterjemahkan kerana secara logik akalnya amat payah menerimanya kecuali mereka yang mengalaminya.

“Ketukan itu memang berlaku, namun hendak dikatakan akibat pocong amat sukar sebab tidak pernah menemukan entiti tersebut. Kita tahu ada alam ghaib seperti jin, namun bagi saya kekuasaan Allah menguasai segalanya dengan mengamalkan bacaan al-Quran,” ujarnya.

Dia yang mengikuti rondaan hampir setiap malam sejak 19 November lalu menjelaskan ketukan itu juga seolah-olah mengetahui penduduk kampung melakukan rondaan.

“Ada kadang-kadang, aduan diterima selepas beberapa minit rondaan dilakukan di sesuatu kawasan perumahan di kampung ini.

“Hasil pemeriksaan seperti situasi sebelum ini tidak menemukan sebarang kelibat individu,” katanya.

Pendinding diri

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 38, Mohd. Zakiyuddin Ajmain, 53, pula mendakwa, sebelum berlaku ketukan, akan hadir bau kemenyan dan bedak.

Terangnya, dia bersama tiga rakannya ada berdepan entiti berpakaian putih yang memunculkan dirinya ketika minum di hadapan rumah ketika pukul 2 pagi.

“Peristiwa itu berlaku pada malam kedua rondaan dengan kelibat putih berada di depan kami secara tidak semenanya.

“Saya memberanikan diri dengan menyatakan apa yang dimahukan dan menyuruhnya ke tempat lain serta tidak menganggu kampung ini,” ujarnya sebelum entiti itu hilang.

Mohd. Zakiyuddin turut mendakwa memang terdapat mahkluk halus di kampung tersebut, namun entiti itu tidak pernah menganggu seperti yang berlaku dalam insiden misteri ketukan ini.

“Sebelum ini, memang ada nampak kelibat-kelibat entiti di kampung ini, namun ia tidak berlarutan sebegini,” katanya.

Benarlah sebaik-sebaik ‘pendinding’ adalah dengan mengamalkan bacaan al-Quran. Begitu juga diterapkan penduduk kampung terlibat apabila menganjurkan bacaan surah Yasin dan solat hajat selepas gangguan tidak pernah surut walaupun rondaan dilakukan mereka.

Kesannya, kampung-kampung terlibat di Sabak Bernam kembali tenang selepas hampir seminggu ketukan itu ‘mengganas’.

MD. DAUD

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baharu, Mohd. Suhairi Machri, 42, berkata, sepanjang gangguan tersebut, penduduk kampung melakukan rondaan pada setiap malam bagi mengesan punca ketukan tanpa salam itu.

“Menjadi kewajipan sebagai ketua kampung memastikan keselamatan penduduk termasuk menepis sebarang dakwaan tular tentang sesuatu yang ingin mengganggu keamanan kampung,” jelasnya.

Gangguan ketukan yang dialami penduduk di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang dipercayai berkaitan pengujian ilmu khususnya dalam kalangan pengamal sihir.

Uji ilmu untuk rosakkan akidah

Penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berpandangan, ini berikutan usikan dan godaan tersebut lebih kepada perbuatan mahkluk yang ‘dilepaskan’ mereka bertujuan menakutkan orang ramai seterusnya merosakkan akidah masyarakat Islam.

Sedangkan katanya, jin yang biasanya tidak bertuan jarang mengganggu seseorang dan hanya menampakkan diri mereka.

“Mereka (pengamal sihir) ini hanya ingin membuktikan kehebatan seterusnya menyebabkan diri mereka diiktiraf oleh kelompok sendiri. Pengujian ilmu ini juga bertujuan membuatkan orang ramai lebih takut kepada jin yang dihantar berbanding kepada Allah,” ujarnya ketika dihubungi K2.

Kata beliau, gangguan tersebut juga berkemungkinan bagi memastikan ada masyarakat Islam yang menggunakan khidmat pengamal ajaran tidak benar itu.

Ujarnya, ini seterusnya menyebabkan berlakunya amalan syirik seperti persembahan haiwan misalnya ayam bagi menghilangkan gangguan itu.

“Berdasarkan siri ketukan itu, saya tidak menolak kemungkinan ia berlaku dalam tempoh paling lama seminggu sebelum beredar ke tempat lain. Ini bagi mengelak bertemu dengan bijak pandai dalam agama yang mempelajari tangkapan dan kaedah membasmi makhluk tersebut,” katanya.

Md. Daud menyarankan masyarakat Islam khususnya kembali kepada al-Quran dengan memperbanyak bacaan kitab suci tersebut.
“Paling tidakpun, selalu membaca 3 Qul iaitu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas yang mempunyai maksud tersendiri dalam memohon pertolongan Allah serta mengelakkan was-was yang menjadi permainan syaitan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI