fbpx

Memori jalan pintas warga Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Feri Pulau Pinang.
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

SELAIN memiliki dua jambatan terpanjang di negara ini, penduduk Pulau Mutiara begitu berbangga dengan perkhidmatan feri ikonik yang mencecah usia 126 tahun.

Menaiki feri sambil menyelusuri Selat Pulau Pinang untuk ke George Town sejauh kira-kira tiga kilometer merupakan satu pe­ngalaman mengasyikkan.

Tambangnya pula murah dan tiada bayaran untuk balik ke Seberang Perai.

Perjalanan selama kira-kira 20 minit antara Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda, George Town mampu merehatkan minda penumpang.

Bagi sesetengah penduduk terutama di Butterworth yang mempunyai urusan di George Town, pengangkutan itu menjadi jalan pintas.

Kebanyakan mereka membesar dan mempunyai nostalgia dengan perkhidmatan feri.

Bagi pelancong, pengalaman menaiki feri merupakan peluang yang tak harus dilepaskan.

Namun, pada minggu lalu, kita dikejutkan dengan pengumuman Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengenai penamatan perkhidmatan feri.

Bermula 1 Januari ini, feri hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal, manakala pejalan kaki akan menggunakan perkhidmatan bot laju berkapasiti 200 orang.

Pengguna kereta dan lori akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menurut SPPP, pengangkutan air moden iaitu katamaran atau bas air akan digunakan bermula Julai 2022.

Dua buah feri terakhir yang sedang beroperasi akan dijadikan restoran terapung dan muzium.

Perkhidmatan itu sebenarnya membebankan kerana ia memerlukan RM13.7 juta bagi kos per­khidmatan setahun berbanding kutipan tiket hanya RM7 juta.

Kos menyelenggara sebuah feri lama itu juga dikatakan mencecah RM2.2 juta.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis lalu memberi harapan baharu apabila berkata, perkhidmatan feri akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.

Kerajaan Persekutuan turut meluluskan RM30 juta kepada SPPP.

Pengumuman itu meredakan sedikit ketegangan, namun setakat ini penduduk dan kerajaan negeri masih menunggu penjelasan terperinci.

Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kader Md. Ali berkata, kerajaan sepatutnya mengekalkan perkhidmatan wa­risan itu.

“Kita masih memerlukan perkhidmatan feri seperti sedia kala,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, pihak berkepentingan negeri dan Persekutuan perlu mencapai kata sepakat.

“Semua agensi perlu sepakat sama ada ia diteruskan sebagai warisan atau berfungsi sebagai alat pengangkutan.

“Kesepakatan itu perlu kerana ia memberi kesan pada aspek operasi dan kewangan,” katanya.

Dianggarkan 1.5 juta pejalan kaki menggunakan perkhidmatan itu pada tahun lalu, motosikal (765,725), kereta (498,922), lori (12,517) dan basikal (11,964).-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI