fbpx

Kerajaan peruntukan RM50 juta laksanakan SPIN 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi (tengah) menyampaikan mock cek penerima Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) kepada Che Mohd. Shazli Isa (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Informal (SPIN) di kementeriannya MEDAC, di sini, hari ini. FOTO: FAISOL MUSTAFA.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukan RM50 juta bagi pelaksanaan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dalam usaha membantu usahawan sektor informal yang terjejas ekoran daripada pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program yang diilhamkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dijangka memberi manfaat kepada 10,000 usahawan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapat pembiayaan antara RM1,000 dan RM5,000.

Beliau berkata, tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga tiga tahun dengan kadar keuntungan yang dikenakan sebanyak empat peratus setahun.

“SPIN juga dapat menggalakkan usahawan sektor informal untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

“Ini kerana bagi membuat pembiayaan ulangan, usahawan diwajibkan membuat pendaftaran perniagaan dengan SSM,” katanya pada majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Bantu Sektor Informal di kementeriannya di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, walaupun baru dilancarkan, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan SPIN berjumlah RM6.1 juta kepada 842 usahawan sejak November lepas.

Katanya lagi, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat hampir 1.26 juta guna tenaga dalam sektor informal di mana 71.7 peratus daripada jumlah tersebut adalah yang bekerja sendiri atau mengusahakan perniagaan mikro.

“Inisiatif ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro.

“Melalui bantuan SPIN, anjakan status perniagaan sektor informal ke perniagaan berstatus mikro dan seterusnya kepada kategori yang lebih tinggi akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menyalurkan RM300 juta melalui Pakej Prihatin dan Pelan Penjana telah disalurkan sepenuhnya yang memberi manfaat kepada 41,292 orang usahawan mikro di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 26,326 permohonan bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) membabitkan nilai pembiayaan RM200 juta, telah diluluskan sejak dilancarkan pada April lepas.

Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pula telah memberi manfaat kepada 14,966 usahawan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM100 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI