fbpx
Aida Zunaidi (tiga dari kiri) bersama Jessie Khong (tiga dari kanan) pada majlis Rumah Terbuka Raya Kao x Ibupreneur di Kuala Lumpur kelmarin.

Kao Malaysia perkasa ahli Ibupreneur jadi lebih berdikari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kao Malaysia melihat inisiatifnya bekerjasama buat kali ketiga dalam memperkasakan ibu atau wanita daripada kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan, telah berjaya meningkatkan semangat mereka untuk terus berdikari dan membangunkan jati diri untuk menjadi individu yang lebih berjaya pada masa depan.

Inisiatif yang berteraskan falsafah ‘Kire’ (dalam bahasa Jepun) itu telah membolehkan hasrat Kao tercapai untuk memberi semula kepada komuniti dan meninggalkan kesan positif kepada ahli-ahli Ibupreneur.

Penolong Naib Presiden, Pembangunan Modal Insan  Kao Malaysia, Jessie Khong berkata, melalui kempen Laurier Cares dan fokus Magiclean terhadap kebersihan, program ini telah membantu para ibu yang bergantung dari segi kewangan dengan menyediakan kemahiran, sokongan dan keyakinan untuk berdikari  terutamanya semasa Ramadan dan Raya. 

“Program ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang melalui sokongan ekonomi, latihan kemahiran dan kesejahteraan. 

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membantu ibu-ibu menghasilkan kuih raya bersama sukarelawan Kao bagi meningkatkan pendapatan mereka. 

“Antara latihan yang disertai mereka juga adalah mereka katalog dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan juga Canva serta menghasilkan kandungan dalam platform TikTok untuk mempromosikan perniagaa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas acara Rumah Terbuka Raya Kao x Ibupreneur 2026 bertemakan “Sharing Love, Spreading Hope” di ibu pejabat Ibupreneur di TTDI kelmarin.

Turut hadir Pengasas Ibupreneur, Aida Zunaidi.

Ibupreneur adalah sebuah organisasi yang bertujuan untuk memperkasakan kaum ibu dan wanita yang kurang berkemampuan, surirumah atau ibu tunggal untuk menjadi usahawan mikro yang berjaya.

Antara fokus utama badan tersebut adalah untuk membantu ahlinya yang seramai lebih daripada 600  orang di seluruh negara mencapai kemandirian kewangan dan kejayaan dalam bisnes.

Ibupreneur juga mampu mengasah bakat sedia ada mereka untuk bergiat dalam perniagaan dan juga menyediakan platform menyeluruh bermula daripada bidang pendidikan, latihan dan pemasaran untuk membolehkan perniagaan mereka berdaya saing.

Selain itu, bagi ibu-ibu yang terjejas akibat banjir sebelum ini, bantuan tambahan turut diberikan antaranya adalah khidmat pembersihan rumah, sumbangan barangan keperluan harian dan juga baucar tunai.

Secara keseluruhan, Kao Malaysia menyumbang barangan bernilai kira-kira RM15,000 kepada 50 ibu.  -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN