fbpx

Dua suspek cuba elak pemeriksaan polis berjaya ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bungkusan mengandungi rokok yang berjaya di rampas daripada suspek selepas cubaan melarikan diri dari pihak polis semalam.

GOMBAK – Tindakan dua lelaki memecut kenderaan melarikan diri daripada pihak polis selepas ditahan untuk pemeriksaan hanyalah sia-sia selepas mereka akhirnya berjaya dicekup dalam kejadian di Jalan Besar Selayang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Ketika sedang melakukan rondaan, anggota bertugas telah terlihat sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan dan telah mengarahkan kereta tersebut untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Pemandu kereta itu bagaimanapun telah bertindak memecut laju melarikan diri ke arah Pekan Rawang dan kemudiannya dikejar oleh anggota anggota polis bertugas dengan bantuan Trafik IPD Gombak dan MPV IPD Petaling Jaya sehingga ke Jalan Subang-Kota Damansara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, ketika melalui persimpangan lampu isyarat Seksyen 11, Kota Damansara, kereta berkenaan telah terlanggar sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC sekali gus memberi peluang anggota polis untuk memintas dan memberkas dua lelaki yang berada di dalam kereta.

“Suspek merupakan warga tempatan berusia 28 serta 31 tahun dan semakan dilakukan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan telah menemui 95 bungkusan dipercayai mengandungi rokok seludup di bahagian bonet kereta dan satu plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu serta sebutir pil disyaki eremin 5 di dalam dompet salah seorang suspek tersebut,” jelas beliau.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman 10 hari sehingga 28 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam1967 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI