fbpx
Bibir mangsa cedera akibat ditumbuk suspek.

Ditumbuk kerana bunyikan hon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Berang kerana dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menumbuk muka seorang wanita dalam satu kejadian di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 58 tahun itu meletakkan keretanya di petak letak kenderaan milik mangsa sebelum wanita itu membunyikan hon sebagai tanda untuk meminta suspek mengalihkan keretanya.

Tidak puas hati dengan tindakan wanita berusia 27 tahun itu, suspek bertindak menumbuk mangsa sebelum mengambil pisau untuk mengugutnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Berlaku salah faham antara mangsa dan suspek dan kita telah menahan lelaki itu sebaik menerima laporan.

“Suspek juga sudah dituduh di mahkamah semalam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang lelaki memukul seorang wanita di tempat letak kenderaan.

Selain itu, mangsa turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan kecederaan yang dialami akibat kejadian itu di Facebook. – K! ONLINE.

POPULAR