fbpx

59 ADUN, wakil diberi taklimat awal Belanjawan 2021 Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat mengenai Belanjawan 2021 Perak kepada 59 ADUN dan wakilnya di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh hari ini.

IPOH – Seramai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk wakil hari ini diberikan taklimat mengenai Belanjawan 2021 Perak yang akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak esok.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, taklimat oleh Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak itu bertujuan memberi maklumat awal kepada setiap wakil rakyat mengenai pembentangan belanjawan tersebut.

Katanya, maklumat itu boleh diguna pakai untuk tujuan rujukan mahupun sebagai isi dalam perbahasan belanjawan berkenaan.

“Sebelum ini, kita ada buat taklimat tetapi selepas belanjawan dibentangkan dan untuk tahun hadapan kita buat lebih awal sedikit supaya semua ADUN boleh buat rujukan di tempat lain.

“Taklimat yang diadakan bukan kandungan sepenuhnya belanjawan yang akan dibentangkan esok, sebaliknya ia maklumat awal.

“Jadi kita harap apabila ADUN-ADUN yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu nanti, mereka membahaskan kepada angka dan fakta yang diberikan oleh Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah UPEN,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat Belanjawan Perak 2021 kepada ADUN negeri di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah pembahas pada sidang DUN Perak yang bermula esok, Saarani berkata, tiada jumlah pembahas yang ditetapkan kerana ia bergantung kepada keputusan Speaker DUN Perak.

“Amalan yang sepatutnya berlaku dalam mana-mana sidang Dewan Rakyat atau negeri, kita tidak menetapkan bilangan orang bergantung kepada siapa yang ingin berbahas. Biasanya mereka akan maklumkan kepada Speaker DUN.

“Terpulang kepada Speaker untuk menentukan waktu seseorang itu mengambil bahagian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI