fbpx

Penduduk bantah lokasi perumahan jadi pusat kuarantin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dewan serbaguna yang bakal menempatkan pesakit Covid-19 bukan warganegara di Jalan Permatang Tepi, Balik Pulau di sini.

BALIK PULAU – Penduduk di empat kawasan di daerah ini membantah keras keputusan mewujudkan pusat kuarantin dipercayai bagi menempatkan pesakit Covid-19 bukan warganegara berhampiran lokasi perumahan mereka.

Mereka terdiri penduduk di kawasan Kampung Permatang Tepi, Taman Palmyra, Kampung Permatang Tengah dan Simpang Empat Balik Pulau itu masing-masing menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan nanti.

Wakil penduduk, Ismail Kassim berkata, dia difahamkan sebanyak 400 buah katil akan dipasang di dalam dewan serbaguna yang terletak di Jalan Permatang Tepi di sini mulai esok.

Menurutnya, mereka menolak keputusan pihak berkuasa dalam menjadikan lokasi berkenaan sebagai penempatan transit bagi warga asing yang positif wabak itu biarpun berisiko rendah.

“Saya mewakili penduduk berhampiran menzahirkan rasa tidak puas hati termasuk bimbang tentang kebarangkalian penularan jangkitan wabak itu ke sini.

“Penduduk di kawasan ini tidak di maklumkan mengenai perkara itu sebelum ini tetapi hari ini kami mendapat berita mengenai pemasangan katil-katil bermula pagi esok.

“Berita ini cukup menggerunkan dan kami menggesa pihak berwajib mengalihkan pusat itu ke satu lokasi yang lebih sesuai, jauh dari kawasan penempatan penduduk serta penglibatan masyarakat setempat,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Setakat semalam, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 34 kes baharu Covid-19 dengan kumulatif kes positif adalah sebanyak 2,521 kes.

Terdapat satu kes kematian direkodkan dan 36 kes telah dibenarkan discaj dengan jumlah pesakit pulih setakat ini adalah 2,269. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI