fbpx
VANESSA HUDGENS

Kisah romantis Vanessa Hudgens

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN Disember 2020 masih dibelenggu pandemik Covid-19 yang menyerang dunia sejak awal tahun, emosi perayaan hujung tahun khususnya buat penganut Kristian dan percutian santai akhir tahun masih menebal.

Antara yang menarik tentang Disember juga, selain kerancakan lagu All I Want For Christmas Is You nyanyian Mariah Carey, seperti lazimnya peminat turut menantikan naskhah Krismas romantis untuk ditonton.

Bersesuaian dengan musim perayaan, filem Princess Switch sekali lagi menambat hati penonton selepas memperoleh kejayaan hasil tayangan menerusi Netflix pada 2018. Biarpun klise, kisah puteri raja nampaknya masih relevan dan mendapat sambutan global.

Menariknya tahun ini, naskhah berkenaan sekali lagi kembali ke takhta hati ramai menerusi kemunculan sekuel berjudul Princess Switch: Switched Again.

FILEM Princess Switch: Switched Again merupakan kesinambungan Princess Switch dan boleh ditonton menerusi Netflix.

Bertukar personaliti

Masih mengekalkan platform tayangan menerusi Netflix, karya berkenaan menyaksikan pelakon jelita Vanessa Hudgens membawakan tiga watak berbeza iaitu sebagai Puteri Margaret Delacourt, Stacy De Novo Wyndham dan Lady Fiona Pembroke.

Sesuatu yang agak luar biasa, khalayak tidak menduga Hudgens mampu dipecahkan menjadi tiga manusia berbeza dalam naskhah sama.

Namun, demi menjayakan filem Princess Switch : Switched Again, dia mencabar sehinggakan adakalanya berasa keliru dengan ketiga-tiga karakter tersebut.

Mengakui bukan satu komitmen mudah, Hudgens bagaimanapun meluahkan rasa puas terhadap karya arahan Mike Rohl itu.

Kata bintang High School Musical itu lagi, kepayahan saat pembikinan filem berkenaan membuatkan dirinya terlupa soal penat lelah apabila sering berubah penampilan daripada menjadi Puteri Margaret Delacourt, Stacy De Novo Wyndham hingga ke Lady Fiona Pembroke.

VANESSA HUDGENS mengakui berasa teruja melakonkan tiga watak berbeza dalam sebuah naskhah. Biarpun dianggap sebagai satu kerja gila tetapi itulah pengalaman luar biasa sejak lebih sedekad bergelar anak seni.

Kerja gila

“Menjadikan tiga orang yang berbeza dalam babak adalah kerja gila tetapi menyeronokkan. Tugas tersebut memberi pengalaman dan keterujaan ketika berada di set penggambaran.

“Tambahan pula, kemunculan watak ketiga iaitu Lady Fiona Pembroke mewujudkan suasana baharu. Dalam versi pertama, hanya Puteri Margeret Delacourt dan Stacy De Novo Wyndham sahaja yang bertukar.

“Perkara yang memenatkan apabila saya perlu mengenakan solekan berbeza selepas membawakan satu-satu watak.

“Tidak hanya itu saya perlu mengubah gaya rambut, cara berjalan dan termasuk pertuturan dalam aksen British.

“Segalanya berjalan lancar dengan bantuan pelakon pendua (double body) yang menjadikan filem kelihatan benar-benar hidup.

“Saya bersama dua orang pelakon pendua perlu melakonkan babak sama secara berulang kali dan itu satu perkara yang memenatkan,” terang Hudgens.

Asalnya, filem yang menjalani penggambaran di sekitar Glasgow, Scotland tersebut tidak memiliki perancangan untuk penghasilan sekuel. Matlamat asal, hanya sebagai penghangat sambutan Krismas.

SELEPAS putus cinta dengan penyanyi Austin Butler, Vanessa Hudgens dikatakan sedang hangat menjalin asmara atlet bola keranjang berusia 24 tahun, Cole Tucker.

Sekuel ketiga

Bagaimanapun, sambutan hangat yang diterima selepas ditayangkan pada 2018 membuatkan Hudgens yang bertindak sebagai penerbit filem terbabit mengambil keputusan untuk mewujudkan kesinambungan percintaan antara Puteri Margaret Delacourt dengan kekasihnya Kevin Richards.

Tidak hanya berkisahkan tentang cinta, Princess Switch: Switched Again turut mempamerkan kesediaan Delacourt menduduki takhta sebagai Ratu Belgravia selepas kemangkatan ayahandanya selain ditambah dengan agenda rampasan kuasa oleh Antonio dan Lady Fiona Pembroke.

Ketika sekuel kedua baharu sahaja menemui penonton, kini muncul perkembangan terbaharu konon-kononnya Hudgens sedang dalam perancangan menghasilkan sekuel ketiga Princess Switch untuk tayangan hujung tahun depan.

Khabar tersebut pastinya membuatkan pengikut setia Princess Switch teruja menantikan kesinambungan pentadbiran kerajaan Belgravia bawah pemerintahan Ratu Margeret Delacourt.

Dalam pada itu terdapat juga kisah kurang enak mengenai Hudgens saat menjalani penggambaran filem sekuel keduel di Edinburgh, Scotland sekitar hujung 2019 lalu.

Menerusi laporan Edinburgh Live, Hudgens dikatakan tidak berhati perut apabila enggan menghiraukan penantian seorang budak perempuan yang juga peminat setianya, bernama Mia.

Dalam kejadian tersebut, Mia ditemani ayahnya, Neil Robertson hanya mahu bertemu dan bergambar dengan Hudgens.

Hasratnya tidak tercapai kerana pelakon terbabit terlebih dahulu beredar dari lokasi penggambaran.

Menurut cerita, kejadian tersebut berlaku di Mimi’s Bakehouse apabila Mia bersama ayahnya menunggu selama enam jam semata-mata untuk bergambar dengan Hudgens.

Malangnya, Hudgens bersama beberapa kru telah meninggalkan premis tersebut melalui pintu belakang dan terus menaiki kenderaan yang telah disediakan.

Kecewa dan pulang kehampaan, Robertson tetap berharap agar suatu hari nanti, anaknya yang masih bersekolah rendah itu berpeluang bertemu dengan Hudgens dek obsesinya terhadap karya High School Musical.

Insiden tersebut secara tidak langsung telah menjatuhkan reputasi Hudgens dan menjadi perbincangan dalam kalangan peminat, namun sehingga kini tiada sebarang reaksi daripada Hudgens mahupun produksi Princess Switch : Switched Again.

HUDGENS dikatakan tidak berhati perut apabila enggan menghiraukan penantian seorang budak perempuan yang juga peminat setianya, bernama Mia. Mia sanggup menunggu selama enam semata-mata mahu bergambar dengan Hudgens.

Percintaan

Tidak sekadar ceritera cinta Princess Switch: Switched Again yang hangat diperkatakan, bahkan Hudgens turut dikhabarkan telah menemui pengganti setelah hubungan bersama penyanyi, Austin Butler berakhir sekitar Januari lalu.

Sembilan tahun menjalin cinta, hubungan pasangan itu dikatakan terlerai akibat kesibukan karier.

Berita perpisahan Hudgens dan Butler turut menjadi perbualan hangat dalam media sosial terutama apabila bekas kekasihnya, Zac Efron turut berpisah dengan kekasihnya, Sarah Bro pada waktu hampir sama.

Ketika itu, ‘pemuja’ High School Musical masing-masing mengharapkan kisah cinta Troy dan Gabriella kembali berputik dan hidup bahagia persis kisah dongeng Cinderella yang bahagia sehingga ke anak cucu.

Harapan tersebut bagaimanapun berkubur apabila bekas bintang Disney berkenaan dilihat bermesraan dengan seorang atlet bola keranjang, Cole Tucker selepas menikmati makan malam di sebuah restoran di Los Angelas, Amerika Syarikat.

Tidak hanya adegan berpelukan di luar restoran, Hudgens dan Tucker dikatakan menghabiskan masa bersama di kampung halaman atlet berusia 24 tahun itu di Arizona.

Meskipun tidak memberikan sebarang kenyataan tentang hubungannya, telahan khalayak mengatakan pasangan itu sedang mabuk asmara mungkin benar berdasarkan kemesraan mereka dalam video yang tular dalam internet.

“Hampir 10 bulan hidup solo, tidak salah sekiranya Hudgens kembali menghangatkan asmara dengan kekasih baharu.

“Paling penting dia bahagia dan ceria. Diharapkan hubungan ini akan membahagiakannya dan berakhir dengan perkahwinan kerana terlalu ramai bekas bintang Disney telah berumah tangga,” tulis seorang pengguna media sosial.

Meletakan impian tinggi terhadap hubungan cinta Hudgens dan Tucker, diharapkan pasangan terbabit menyusuri tahun 2021 dengan lebih romantik sekali gus memberikan khabar gembira buat peminat terutama buat mereka yang menginginkan kedua-duanya benar-benar menjadi raja sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN