fbpx

Tya dikenali sebab menantu Siti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYA ARIFIN

BERHIJRAH ke negara orang demi mengikut suami bukanlah satu perkara mudah, terutama ketika nama sedang mekar di tanah kelahiran sendiri.

Itu situasi yang dilalui Tya Arifin selepas membina mahligai cinta bersama Asyraf Khalid sejak lima tahun lalu.

Keputusan nekad yang diambil sekali gus menghentikan seketika kerjaya seninya yang sudah dimulakan pada tahun 2013.

Masa bergulir, walaupun sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata dan ahli perniagaan yang berjaya, cinta Tya terhadap dunia seni, khususnya nyanyian tidak pernah pudar.

Terbaharu, pengasas produk makanan kesihatan berasaskan jamu, Mutyara itu muncul dengan single pertamanya di Malaysia, Bagaikan Mutiara.

Bagaikan Mutiara merupakan buah tangan terbaharunya selepas hampir tujuh tahun tidak muncul dengan sebarang lagu selepas single pertamanya, Bawalah Aku diterbitkan di Indonesia, tujuh tahun lalu.

TYA ARIFIN memberikan sepenuh cinta terhadap lagu Bagaikan Mutiara. Lebih istimewa lagu tersebut mendapat sentuhan suaminya, Asyraf sebagai penulis lirik.

Bukan gimik

“Mungkin lagu tersebut gimik produk baharu nanti agaknya,” detik hati penulis ketika mendengar tajuk buah tangan terbaharu Tya itu.

Bagaimanapun, sangkaan tersebut meleset selepas Tya mendedahkan Bagaikan Mutiara tiada kena-mengena dengan jenama makanan kesihatannya, jauh sekali gimik untuk mempromosikan produk tersebut.

Ketika mendengar bait-bait liriknya, Bagaikan Mutiara jelas merangkumkan aturan kerjaya, kecintaan dan kembara hidup, wanita kelahiran Palembang, Indonesia itu sehingga kini.

Menurut pemilik nama penuh Nurtria Wulandari Arifin itu, lagu bernuansa pop ciptaan Ahmad Jeffny dan penyanyi Yuka Kharisma merupakan gambaran pengorbanan hidup dan kecintaannya terhadap dunia seni yang tidak pernah terhakis.

Lebih istimewa lagu yang dirakamkan pada 20 Oktober lalu tersebut turut mendapat sentuhan suaminya sebagai penulis lirik.

VIDEO muzik lagu Bagaikan Mutiara sudah boleh ditonton dalan YouTube sejak 4 Disember lalu. – Ihsan Universal Music Malaysia

“Bagaikan Mutiara mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita yang sedang mencari jati dirinya dan cinta hatinya. “Pendek kata, lagu ini mengenai perjalanan hidup saya iaitu selepas bertemu suami, berkahwin, melahirkan anak sehingga mampu membina sebuah empayar bisnes.

“Ada yang indah dan pahit. Saya mahu jadikan Bagaikan Mutiara sebagai bingkisan memori yang dapat menggambarkan kehidupan selama ini,” kata Tya kepada HibGlam usai pelancaran single berkenaan, baru-baru ini.

Akui Tya, dia sedikit kekok selepas hampir tujuh tahun tidak merakamkan lagu.

“Sebelum merakam lagu ini, saya ada hadiri kelas teknik vokal bersama Cikgu Shafi dan Yuka untuk mengasah semula skil nyanyian yang sudah lama ditinggalkan.

“Malah, lagu ini juga dicipta sesuai dengan tahap vokal saya,” kongsi ibu kepada sepasang cahaya mata, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa yang kini berusia 2 tahun.

Ujarnya, video muzik Bagaikan Mutiara juga sudah dilancarkan secara rasmi dalam YouTube pada 4 Disember lalu.

TUJUH tahun tidak masuk studio rakaman, Tya mengakui agak kekok ketika mula-mula hendak merakamkan lagu Bagaikan Mutiara.
– SHIDDIQIEN ZON

Indonesia

Ditanya tentang khabar keluarga di Indonesia, soalan tersebut menjentik hati wanita berusia 26 tahun itu.

Tidak dapat menahan sebak, air mata gugurnya ketika meluahkan kerinduannya kepada kaum keluarga di Palembang.

“Sangat rindu. Sudah setahun saya tidak pulang ke kampung halaman bertemu ibu, ayah dan ahli keluarga yang lain.

“Selalunya setiap dua bulan kami akan pulang ke sana namun disebabkan pandemik Covid-19, rindu itu terpaksa ditahan seketika. Sekarang kami hanya berhubung menerusi panggilan video setiap hari, dapatlah juga mengubat kerinduan.

“Syukur walaupun jumlah kes jangkitan di sana sangat tinggi, tiada seorang pun ahli keluarga saya yang dijangkiti.

“Saya percaya, pengorbanan ini pasti ada hikmah yang sudah Tuhan tetapkan,” ujarnya.

TYA mengakui sangat merindukan keluarganya di Indonesia.

Dibayangi Siti Nurhaliza

Umum mengetahui Tya merupakan menantu kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Namun, di sebalik hubungan kekeluargaan itu, ada juga yang mengatakan Tya dibayangi populariti milik ibu mertuanya yang digelar sebagai Mak Iti.

“Realitinya, saya memang menantu Mak Iti. Jika langit terbelah sekali pun, status saya akan kekal begitu, tiada apa yang dapat saya elakkan.

“Jujurnya, saya tidak mempunyai sebarang masalah jika orang lebih mengenali saya sebagai menantu Mak Iti. Itu fakta yang memang sudah termaktub selepas saya bergelar isteri Asyraf,” katanya lagi.

Ujar Tya, seperti ibu mertua lain, Siti turut menitipkan doa kepadanya selepas dia meluahkan hasrat untuk menyanyi semula.

“Mak Iti seorang ibu yang akan menyokong apa sahaja perkara dilakukan oleh anak-anaknya.

“Dia mendoakan saya dan berpesan supaya sentiasa buat yang terbaik dalam setiap perkara,” katanya lagi.

Kongsinya lagi, dia juga menjadikan Siti sebagai sumber inspirasinya sebagai anak seni dan ahli perniagaan yang berjaya.

JIKA ada yang mendakwa dirinya dibayangi populariti mertuanya, Siti Nurhaliza, Tya tidak boleh berbuat apa-apa. Itulah hakikat hidup yang tidak boleh dipertikaikan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI