fbpx

Tambahan pintu kawalan air elak banjir di Pasir Puteh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Kementerian Alam Sekitar dan Air akan membangunkan sebuah lagi pintu kawalan air pasang surut yang baharu yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di kawasan Sungai Bukit Gedombak di sini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pintu kawalan air itu dijangka akan mempercepatkan pengaliran air terus ke laut sekali gus mengelakkan kejadian banjir kilat di perkampungan yang berdekatan.

Katanya, langkah itu juga akan menyelamatkan kawasan pertanian yang diusahakan lebih 1,000 petani di kawasan operasi Jabatan Pembangunan Pertanian Kemasin-Semerak (IADA) yang terkesan akibat limpahan air sungai berkenaan setiap hujung tahun.

“Kita sudah meneliti semua pintu kawalan pasang surut air di bawah IADA berfungsi dengan baik apabila bilangan lokaliti dan jumlah mangsa banjir di daerah ini akan menurun berbanding tahun sebelumnya.

“Sehingga kini, sumber lebihan air di sungai Kemasin-Semerak tidak digunakan sebagai air bersih kerana kualitinya sering berubah-ubah termasuk menjadi payau apabila menerima kemasukan air masin kesan air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pintu kawalan air pasang surut Gong Kulim di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mohamad Zawawi Salleh.

Berdasarkan rekod, sebanyak tiga pintu kawalan air pasang surut sudah dibina untuk mengelakkan kejadian banjir di daerah ini iaitu di Tebing Tinggi, Gong Kulim dan Kampung Lembah.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihak kementerian telah mengenal pasti potensi Sungai Kemasin-Semerak yang memiliki takungan jumlah air yang besar sekali gus boleh dibangunkan semula untuk menyelesaikan isu keperluan air bersih di negeri ini.

Katanya, satu kajian akan dibuat dengan meneliti kaedah mengawal kemasukan air masin ke kawasan takungan air tawar bagi manfaat keperluan orang ramai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI