fbpx

Lelaki lesap RM2,250 terpedaya Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa 'Love Scam' (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dalam sidang akhbar bersama Nicole Tan Lee Koon di Pusat Khidmat ADUN Bukit Kepayang, di Seremban 2, Seremban hari ini

SEREMBAN – Seorang lelaki terpedaya dengan ‘jerat’ seorang wanita yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook apabila mengalami kerugian sebanyak RM2,250 dipercayai hasil sindiket ‘Love Scam.

Mangsa yang merupakan seorang mekanik berusia 33 tahun memberitahu, mula mengenali rakan wanita tersebut melalui Facebook sejak Oktober lalu.

“Saya menerima pesanan melalui laman sosial menggunakan ‘messenger’ kira-kira 11 pagi yang dikenali dengan nama Jenny Cheng yang merupakan warganegara Australia dan memberitahu telah sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember lalu.

“Kemudian, saya telah menerima panggilan dari seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai kastam yang meminta saya memasukkan duit sebanyak RM2,250 ke dalam akaun banknya bagi Sijil Pelepasan Anti-Pengganas dengan alasan rakan wanita saya itu tidak mempunyai wang dalam matawang Ringgit Malaysia (RM).

“Kerana terlalu percaya saya menuruti apa yang dikehendaki lalu memasukkan wang kepada pegawai kastam terbabit. Saya dimaklumkan bahawa rakan wanita saya itu ditahan kerana matawang USD yang dibawa tidak boleh digunakan dan dia meminta bantuan dari saya, saya telah melakukan pemindahan wang sebanyak RM2,250 melalui akaun milik saya pada jam 1.30 petang pada hari yang sama,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon di Pusat Khidmat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, di Seremban 2, dekat sini hari ini.

Menurut mangsa lagi, dalam tempoh dua jam, wanita berkenaan sekali lagi menghantar pesanan dan memaklumkan urusannya masih belum selesai dan memerlukan wang tambahan sebanyak RM5,200.

“Wanita berkenaan mahu saya memindahkan wang sebanyak RM5,200 bagi tujuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Namun, saya merasakan ada yang tidak kena dan mengesyaki ada unsur penipuan untuk mempergunakan saya bagi mendapatkan wang dan membuat laporan polis dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Nicole Tan yang juga ADUN Bukit Kepayang berkata, semua masyarakat perlu mengambil iktibar berkenaan kes penipuan melibatkan sindikit ‘Love Scam’ tersebut terutama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya faham pelbagai idea yang dilakukan untuk menipu orang awam hanya dengan memalsukan dokumen seperti transaksi penerbangan dan lesen memandu. Saya harap orang ramai tidak lagi mempercayai rakan yang tidak berjumpa atau berkenalan dalam masa yang pendek termasuk dalam media sosial,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI