fbpx
SEEKOR kerbau yang ditembak tidak sempat dilarikan penjenayah ditinggalkan di Jalan Ulu Tembeling, Jerantut pada Rabu lalu.

Tembak kerbau, kerat sebelum jual daging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

JERANTUT – Kebiasaannya pencuri kerbau atau lembu akan menembak ternakan menggunakan ubat pelali sebelum dibawa lari menaiki kenderaan.

Namun, di Jalan Ulu Tembe­ling di sini, geng curi ternakan bertindak agresif dan kejam apabila menembak kerbau dengan peluru hidup.

Malah, penjenayah terbabit bertindak melapah kerbau yang ditembak tanpa disembelih terlebih dahulu di tepi jalan tersebut sebelum dagingnya dijual.

Dalam kes terbaharu pada Rabu lalu, sebanyak tiga ekor kerbau milik penduduk Kampung Pagi di sini telah ditembak dan badannya dikerat-kerat.

Seorang penduduk Kampung Pagi, Marzuki Mohammad, 44, berkata, tiga ekor kerbau yang ditembak mati awal pagi Rabu lalu itu adalah milik rakannya dan kes tersebut adalah kali kedua berlaku dalam tempoh sebulan.

“Sebelum ini, seekor kerbau miliknya cedera ditembak, namun kejadian itu telah disedari rakannya itu. Kerbau tersebut juga sempat disembelih sebelum mati dan dagingnya dijual.

“Bagaimanapun, pada malam Rabu lalu, tiga ekor lagi kerbau­nya ditembak dan dagingnya cuba dilarikan pencuri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Kali ini pencuri hanya sempat mengambil daging seekor kerbau dan separuh badan seekor lagi kerbau, manakala seekor lagi yang berada di dalam longkang tidak sempat dilarikan selepas terserempak dengan penduduk,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Marzuki memberitahu, empat ekor kerbau milik rakannya itu juga pernah hilang dipercayai dicuri beberapa bulan lalu.

Katanya, kecurian kerbau yang berlaku bukan sahaja meresahkan penternak, malah masyarakat di daerah ini yang khuatir daging ternakan ber­kenaan dijual kepada orang ramai terutama umat Islam.

Difahamkan, kerbau-kerbau yang sering menjadi sasaran pencuri adalah ternakan yang berkeliaran pada waktu malam.

Penternak dikatakan mempunyai kandang, namun sering dirosakkan binatang liar termasuk gajah.

Sementara itu, seorang penternak, Haikal Ismail, 33, berkata, awal tahun ini, dua ekor kerbau miliknya menjadi mangsa pencuri yang menembak dan mela­rikan ternakannya sehingga mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

Katanya, kejadian itu menyebabkannya sentiasa bimbang, apatah lagi dia tinggal agak jauh dari kawasan ternakan kerbau.

“Sebelum ini, dua pekerja kepada pencuri kerbau ada datang meminta maaf kerana menembak ternakannya, tetapi mereka tidak membayar sebarang ganti rugi sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pihak­nya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian mencuri kerbau itu.

Katanya, pihak polis akan memaklumkan perkembangan siasatan sekiranya terdapat suspek yang ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN