fbpx

6,238 pekerja asing di Pulau Pinang selesai saring Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Seramai 6,238 daripada 135,490 pekerja warga asing yang berdaftar dalam pelbagai sektor di negeri ini selesai menjalani ujian saringan Covid-19 setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah berkenaan membabitkan 3,000 pekerja di asrama pekerja asing di Batu Maung, (2,900) Bukit Jambul dan (200) Bukit Minyak serta (138) tapak pembinaan Queens Waterfront di Bayan Lepas.

“Ujian berkenaan dilaksanakan oleh pihak majikan bermula 1 Disember lalu dan setakat ini semua keputusan negatif.

“Ia akan dijalankan secara berperingkat dan kerajaan negeri akan memantau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan ujian saringan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Queens Waterfront di Bayan Lepas di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Disember, majikan perlu melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing yang dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia.

Katanya sebagai permulaan, ujian itu tertumpu kepada kawasan berisiko tinggi di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang.

Menurut Jagdeep lagi, pihaknya bagaimanapun tidak meletakkan tarikh khusus untuk menyelesaikan keseluruhan ujian itu berikutan jumlah pekerja yang terlalu ramai.

“Sebelum ini pada April lalu, kerajaan negeri telah mewajibkan ujian saringan Covid-19 terhadap lebih 15,000 pekerja asing di tapak pembinaan dan ujian kepada mereka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.

“Jumlah 135,490 pekerja asing terlalu ramai dan ia melibatkan pelbagai sektor dan saya tidak dapat berikan tempoh masa bila ia dapat diselesaikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI