fbpx
Sunway Resort Hotel & Spa kini sedang menjalani proses pengubahsuaian dan dijangka dibuka semula pada Mac depan.

Sunway Resort positif tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sunway Resort Hotel & Spa menyasarkan kadar penghunian sebanyak 60 peratus apabila dibuka semula secara berperingkat bermula Mac depan, susulan proses renovasi yang sedang berjalan melibatkan pelaburan RM244 juta.

Pengurus Besar Kanan, Kluster Hotel Sunway City Kuala Lumpur, Alex Castaldi berkata, pihaknya menyasarkan purata kadar penghunian sebanyak 55 peratus bagi kluster hotel Sunway City Kuala Lumpur, yang merangkumi tiga hotel termasuk Sunway Pyramid Hotel dan Sunway Clio Hotel yang terletak bersebelahan.

Jelasnya, pengubahsuaian berskala besar di Sunway Resort Hotel & Spa, yang dilancarkan pada 1996 penting bagi memastikannya kekal relevan kepada pelancong dalam pasaran perhotelan yang kompetitif.

“Inisiatif ini selaras dengan strategi untuk memenuhi pe­ningkatan permintaan pelancong yang memerlukan penginapan berkualiti dan mengintegrasikan teknologi terkini dengan pertumbuhan pelancong perniagaan dan rekreasi di Sunway City Kuala Lumpur.

“Pada awalnya, pengubahsuaian ini dijadualkan bermula pada 2021, namun kami mengambil peluang daripada tempoh pandemik kini untuk mempercepatkan inisiatif ini dan bersedia mengalu-alukan kehadiran pelancong apabila pasaran kembali pulih,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Setelah pengubahsuaian itu siap, Sunway Resort Hotel & Spa akan memiliki 478 bilik dan menawarkan pengalaman hospita­liti serba baharu termasuk suite eksklusif, kemudahan baharu untuk keluarga, penggunaan teknologi terkini dan lestari serta restoran berjenama antarabangsa terkenal.

Alex Castaldi

Dalam pada itu, Castaldi berkata, perhotelan adalah salah satu industri paling terjejas akibat Covid-19 dan pihaknya kini lebih bersedia setelah memperoleh pengalaman berharga dari sudut pengurusan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu.

“Pandemik tidak akan bera­khir dalam masa terdekat dan kami mengambil peluang ini untuk menganalisa perniagaan serta menambah baik operasi.

“Kami percaya apabila krisis ini diatasi, sektor pelancongan akan menikmati pertumbuhan pesat dan kami terus membuat persiapan yang diperlukan untuk menerima kehadiran pelancong nanti,” katanya.

Menurut Castaldi, buat masa ini pihaknya menawarkan beberapa pakej dengan ejen pelancongan selain pakej penginapan jangka panjang yang disasarkan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pelancong perniagaan.