fbpx

Saya masih MB sehingga lantikan baharu dibuat – Ahmad Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reaksi Ahmad Faizal selepas keluar menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Besar sehinggalah lantikan baharu dibuat.

Beliau berkata, kerajaan negeri sementara juga akan meneruskan semua program yang sudah dirancang kecuali yang membabitkan dasar dan keputusan besar.

“Alhamdulillah saya telah pun berkesempatan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan saya telah pun sembah maklum tentang apa yang berlaku dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi.

“Saya telah sembah maklum tentang keadaan saya yang telah kehilangan majoriti dan tentunya Tuanku Sultan perlu buat beberapa pertemuan sehingga satu keputusan untuk memilih seorang daripada kalangan ahli dewan yang mempunyai majoriti secukupnya untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadap sembah Sultan Perak, bagi memaklumkan situasi semasa negeri di Istana Kinta di sini petang tadi.

Kenderaan yang membawa Ahmad Faizal tiba di Istana Kinta jam 5.15 petang dan dilihat keluar dari istana kira-kira jam 5.45 petang.

Beliau berkata, pertemuan bersama Sultan Perak berlangsung empat mata.

“Saya harap kemelut ini dapat diselesaikan segera dan harap semua rakyat bersabar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut berharap supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri Perak tidak berpecah.

Beliau berkata, ini kerana melihat kepada kerjasama PN yang berlangsung di peringkat pusat masih kekal.

“Pada saya kerajaan PN di pusat masih bersama jadi saya minta PN di Perak juga tak berpecah,” katanya.

Mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang menyatakan parti itu tidak akan sertai pembentukan kerajaan baharu Perak, Ahmad Faizal berkata, itulah kesannya jika sesuatu pihak hanya pentingkan maksud tertentu dalam membuat keputusan

Katanya, tindakan itu akhirnya tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak lain dan akan menyukarkan penubuhan kerajaan negeri yang baharu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI