fbpx
Seorang petugas perubatan Sultan Johor melakukan pemeriksaan ke atas seorang mangsa kemalangan di Jalan Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini. Foto ROYAL PRESS OFFICE

Pasukan perubatan Sultan Johor beri rawatan kecemasan mangsa kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan rawatan kecemasan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Pasir Pelangi, di sini hari ini.

Menerusi satu kenyataan dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi baginda, pasukan berkenaan sedang dalam penugasan mengiringi Sultan Ibrahim.

“Anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan yang ketika itu dalam penugasan bertindak memberhentikan ambulans untuk memberikan rawatan kepada mangsa, sebaik melihat kemalangan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan susulan,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan supaya membantu mereka yang memerlukan.

“Beta pesan kepada mereka, semasa bertugas mengiringi jika berlaku apa-apa kemalangan kepada orang awam, segera membantu dan juga berikan bantuan yang sewajarnya.

“Dalam keadaan sebegini, lupakan beta, segera bantu mereka yang memerlukan bantuan,” titah baginda.

Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai peralatan klinikal termasuk mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan dan alat defibrilator luaran automatik (AED).-K! ONLINE