fbpx
BOBBY FARID tidak mahu berada dalam situasi tersepit apabila SAG menerima tawaran daripada Mandalika Racing Team berbanding TKKR yang masih berusaha mendapatkan dana.

TKKR ambil keputusan tarik diri daripada MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Moto2 negara, ­Onexox TKKR SAG Team membuat keputusan mengejut apabila menarik diri daripada bersaing pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 selepas enggan terpalit dengan kontroversi ­dengan pasukan berpangkalan di Indonesia.

Pasukan MotoGP Indonesia yang dikenali Mandalika Racing Team Indonesia (MRTI) dikatakan telah mencantas ONEXOX TKKR sebagai penaja utama dalam pasukan Stop And Go ­Racing Team (SAG) Moto2 dengan menawarkan tajaan lumayan.

Prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin bagaimanapun akur dengan tawaran lumayan yang diberikan oleh pasukan Indonesia tersebut berbanding pasukannya yang dilihat masih berusaha mencari dana.

“Difahamkan, ketika ini pasukan SAG Racing Team telah me­nerima tawaran daripada Mandalika Racing Team berbanding kita yang masih berusaha mendapatkan dana. Jadi atau tidak perjanjian itu saya tidak tahu. Malah, Presiden Indonesia sendiri, Jokowi Joko Widodo bersetuju jumpa dengan pasukan SAG.

“Saya tidak mahu duduk dalam keadaan tersepit kalau perbincangan itu tidak jadi, yang mana kita pula terpaksa menanggung keadaan itu. Maka, kami membuat keputusan untuk menarik diri daripada Moto2 musim depan.

“Kita mahu fokus semula kepada perancangan di sini dan bina strategi baharu. Kita akan tetap berada dalam industri permotoran negara dengan beri tumpuan kepada saingan Cubprix, Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK), Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Penarikan diri ini juga langsung tiada kena mengena dengan saya atau pasukan yang dikatakan bankrap. Itu adalah tuduhan yang tidak betul,” katanya menerusi laman rasmi Facebook pasukan itu semalam.

Tambahnya, beliau turut ­mengakui penglibatan industri permotoran Indonesia lebih besar dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia dengan pengli­batan beberapa pasukan.

“Industri mereka lebih besar itu kita kena setuju. Honda ada ‘Satu hati’ datang daripada Honda Indonesia, Yamaha ‘Semakin di depan’ dan Suzuki ‘Nyalakan Nyali’ pun datang dari sana,” jelasnya.

Mengulas mengenai status pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin bersama pasukan SAG musim depan, Bobie menegaskan, segala keputusan terpulang kepada pasukan berkenaan sama ada mengekalkan atau sebaliknya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN