fbpx

Usul undi percaya terhadap MB bukan luar biasa – Speaker DUN Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Zahir (kanan) menunjukkan teks sidang akhbar mengenai Persidangan DUN yang akan berlangsung selama lima hari bermula 4 Disember ini.

IPOH – Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti yang dibawa oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukanlah suatu perkara yang baharu atau janggal bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi termasuk Malaysia.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, mana-mana ADUN boleh membawa usul sedemikian selagi ia mematuhi Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Di Dewan Rakyat juga berlaku, ada Ahli Parlimen yang membawa usul tersebut baru-baru ini. Jika dirujuk kepada konvensyen, kita boleh merujuk Peraturan-Peraturan Tetap Amalan-amalan Negara Komanwel. Di West Minister, ia pernah berlaku usul sama terhadap Perdana Menteri United Kingdom pada tahun 1977 iaitu James Callaghan.

“Justeru usul undi percaya ini bukan perkara baharu mahupun kejanggalan atau luar biasa. Ia memang ada dalam amalan dewan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu (BN), Datuk Abd. Manaf Hashim pada persidangan DUN nanti.

Mengulas lanjut, Mohammad Zahir berkata, usul persendirian itu telah dimasukkan dalam aturan mesyuarat dewan selain daripada Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Besar pada Jumaat.

“Jika mengikut aturan, usul undi percaya itu dijadual turut akan dibahaskan kecuali berlaku sebarang perubahan pada persidangan nanti.

“Namun sekiranya ADUN yang membawa usul itu mahu menarik balik usul tersebut, beliau boleh berbuat demikian berdasarkan peraturan perjalanan dewan,” katanya.

Persidangan Mesyuarat Ketiga Tahun Ketiga DUN Ke-14 Perak akan berlangsung selama lima hari bermula 4 Disember depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI