fbpx

K2

Tukang kasut tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAYMOND menyiapkan kerja-kerja pemasangan kasut di Kedai Kasut San Lee Shoes, Taman Midah, Kuala Lumpur. – Foto AMIR KHALID

DERETAN kasut yang tersusun kemas di beberapa rak ‘menyambut mesra’ kunjungan kami ke Kedai Kasut San Lee di Taman Midah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika kami tiba, Candice Lee, 50, yang mengusahakan perusahaan turun-temurun peninggalan bapa mertua bersama suami, Raymond Chook, 51, dan kakak iparnya sedang tekun mengukur kaki seorang pelanggan.

“Jemputlah duduk dahulu.

“Saya sedang mengambil ukuran kaki pelanggan untuk dibuat kasut. Sebentar lagi saya akan bawa kamu ke bengkel pembuatan kasut,” katanya mesra.

Tatkala mendengar perkataan yang keluar daripada mulutnya itu, hati kami berbunga riang.

Siapa sangka, kunjungan kami ke kedai pembuatan kasut pertama di Malaysia itu benar-benar langkah kanan apabila berpeluang melihat sendiri proses pembuatan kasut di hadapan mata.

KERJA pemasangan kasut yang ditempah oleh pelanggan disiapkan mengikut tempoh dijanjikan.

Lebih menarik apabila proses tersebut dilakukan menggunakan kaedah tradisional seperti yang dipraktikkan sejak 50 tahun lalu iaitu dengan hanya menggunakan pensel, kertas dan pita pengukur.

“Kasut merupakan antara elemen yang sangat penting dalam kehidupan harian individu.

“Tidak seperti baju, apabila saiz yang dibeli terbesar, kita masih boleh memakainya, tetapi lain pula bagi kasut.

“Jika terbesar atau terkecil beberapa milimeter sekali pun, kasut tersebut tidak boleh digunakan kerana ia bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah jika dipakai untuk jangka masa panjang, ia turut memberi kesan sampingan terhadap kesihatan,” terangnya ringkas.

Usai mengambil ukuran kaki pelanggan, Candice membawa kami bertemu suaminya di bengkel yang terletak di bahagian belakang kedai.

Pada waktu itu, Raymond sedang sibuk menyiapkan kasut tempahan pelanggan.

Sambil mempersilakan kami duduk, Raymond menunjukkan secara ringkas kaedah pembuatan kasut yang diwarisinya secara turun-temurun itu.

“Perniagaan yang telah diusahakan sejak tahun 1969 ini merupakan peninggalan mendiang bapa, Chook Wah Sun.

“Hampir kesemua kasut di sini adalah custom made mengikut ukuran sebenar saiz kaki pelanggan.

“Dari segi rekaan, mungkin kami tidak mampu menandingi kedai-kedai kasut popular lain tetapi kami boleh memberi jaminan dari segi keselesaan kerana kasut dihasilkan menggunakan ukuran sebenar tapak kaki pelanggan,” jelasnya lagi.

ANTARA peralatan untuk pengukuran kasut yang diguanakan di Kedai Kasut San Lee Shoes.

Melihatkan cara pasangan suami isteri ini bekerja, jelas menunjukkan mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembuatan kasut.

Akui Raymond, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada bapanya, manakala isterinya pula berguru dengan tukang kasut profesional dari Taiwan dan Eropah.

Tanpa mesin

Bercerita lanjut, menurut Raymond, 80 peratus daripada kasut-kasut di kedai tersebut dibuat secara tradisional tanpa menggunakan mesin.

Ini bagi memastikan kasut-kasut yang dihasilkan benar-benar mengikut ukuran kaki pelanggan.

“Pertama sekali, mereka akan menunjukkan rekaan, material dan warna yang diinginkan pada kasut. Isteri saya, Candice merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan kasut buat pelanggan di kedai ini.

“Tapak kaki akan dilukis pada sehelai kertas selain ukuran diameter panjang dan lebarnya diambil.

“Seterusnya, rekaan kasut akan dilukis pada sehelai kertas keras dengan berdasarkan ukuran yang diambil sebelum proses pertukangan dijalankan secara tradisional,” katanya.

Terangnya lagi, dia tidak menggunakan mesin kerana kasut yang terhasil tidak akan mengikut ukuran yang telah diambil.
Ini kerana mesin akan memotong tapak kasut mengikut saiz acuan yang telah diformat.

Sebelum proses kemasan akhir dijalankan, pelanggan akan dipanggil untuk mencuba terlebih dahulu kasut yang ditempah bagi memastikan kasut tersebut benar-benar selesa dan menepati cita rasa mereka.

Lazimnya tempahan mengambil masa antara 10 hari hingga satu bulan untuk disiapkan.

Menurut Raymond lagi, kasut-kasut yang dihasilkan menggunakan kulit tempahan khas dari Pakistan itu mampu bertahan sehingga 10 tahun.

Selain kulit, Raymond turut menggunakan material daripada PVC, velvet, seude dan satin bagi memenuhi rekaan kasut yang diimpikan pelanggan.

Dalam pada itu, cerita Candice, selain tempahan kasut biasa, mereka juga mengambil tempahan kasut tarian dan individu yang mempunyai masalah kaki.

“Ketika baru dibuka pada tahun 1969, kedai ini hanya membuat kasut harian.

“Kami mula mengambil tempahan membuat kasut tarian sejak 30 tahun lalu selepas seorang penari datang meminta mendiang bapa mertua menghasilkan sepasang kasut tari untuknya,” katanya.

Candice dan suami kemudian meneruskan legasi perniagaan yang menghasilkan kasut bagi individu yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan sepasang kasut.

Masalah kaki

“Sekarang ini ramai yang sukar untuk mendapatkan kasut. Lebih-lebih lagi apabila kasut-kasut sedia ada di pasaran dibuat mengikut saiz-saiz tertentu sahaja.

“Bagi mereka yang mempunyai tapak kaki kecil atau besar, mencari kasut pasti merupakan sesuatu yang sukar,” jelasnya.

Memahami masalah segelintir individu, kedai tersebut menghasilkan kasut dari saiz dua hingga 15.

RAYMOND dan isterinya, Candice menunjukkan pelbagai jenis dan paten kasut yang boleh ditempah di kedai kasut milik mereka.

Selain masalah saiz kaki, kedai kasut San Lee turut membuat kasut bagi individu yang mempunyai masalah bunion dan ketidaksamarataan kaki sejak lahir atau disebabkan oleh kemalangan.

“Setiap hari kami berjumpa pelbagai jenis pelanggan dan rata-rata mereka berhadapan dengan kesukaran untuk membeli kasut.

“Ada juga dalam kalangan pesakit diabetes yang mana mereka tidak boleh menggunakan kasut biasa kerana dikhuatiri peluh yang terhasil akan membuatkan kaki berkempam dan seterusnya mengakibatkan jangkitan kuman.

“Justeru, dengan menempah kasut di sini, mereka bukan sahaja dapat memakai sepasang kasut yang selesa, tetapi dalam masa yang sama tidak mendatangkan kesan buruk pada kesihatan,” jelasnya.

Terang Candice lebih lanjut, pembuatan kasut diabetes sedikit berbeza dengan kasut biasa kerana mereka menggunakan material berasaskan bamboo charcoal.

Material tersebut terbukti tidak merengsakan kulit atau mendatangkan luka pada pesakit. Malah kasut yang dihasilkan juga mempunyai tapak yang lebih lembut berbanding kasut biasa untuk keselesaan pesakit.

“Sepanjang menjalankan perniagaan pembuatan kasut ini, pelbagai masalah berkenaan kaki telah kami temui dan berjaya menyelesaikannya dengan baik.

“Saya berasa senang hati setiap kali melihat mereka gembira mendapat sepasang kasut baharu.

“Setiap kali kasut diserahkan kepada tuannya, saya rasakan misi selesai,” jelasnya.

Selain masyarakat tempatan, Candice dan Raymond turut menerima tempahan kasut daripada luar negara seperti dari Singapura, Australia, Filipina, Indonesia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Layari www.sanleeshoes.com.my untuk maklumat lanjut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI