fbpx

Hias rumah guna penutup botol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEKORASI luar kediaman wanita warga emas dari Rusia ini dipenuhi dengan corak-corak yang terbentuk daripada penutup-penutup botol terbuang.

SETIAP hari, Nina Krinitsina akan berjalan mengelilingi rumahnya sambil membawa sebatang penukul.

Setiap kali melihat penutup botol yang terjatuh di atas lantai, wanita warga emas Rusia itu akan mengutip semula sebelum menukulnya kembali di tempat asal.

Itu merupakan aktiviti harian Nina sejak tujuh tahun lalu selepas dia mengambil keputusan untuk menghias kediaman yang dihuni dengan seni mural menggunakan penutup botol minuman kitar semula.

Uniknya, penutup-penutup botol minuman tersebut disusun mengikut gambar-gambar menarik yang dimuat turun menerusi media sosial.

Sebilangan besar karya yang dipilih merupakan imej watak-watak daripada kartun Soviet dan cerita rakyat Rusia selain lukisan haiwan.

“Saya berasa tenang setiap kali melihat rumah ini.

“Saya akui ada yang menganggapnya sebagai satu kerja yang sia-sia. Bagaimanapun ada juga yang menghargainya dan memuji kreativiti yang dihasilkan ini,” jelasnya.

Berkongsi cerita kepada Oddity Central, Krinitsina yang menetap kira-kira 850 kilometer dari timur Moscow itu akui hampir 80 peratus daripada dinding kediamannya itu dihias dengan menggunakan lebih 1,000 keping penutup botol.

 

SELAIN corak, imej haiwan juga dibentuk oleh Krinitsina.

 

“Pada mulanya saya menggunakan kacang pis. Kemudian saya mula mencari bahan yang lebih sesuai dan tahan lama sebelum menemui penutup botol.

“Bermula dengan menghias dinding di penjuru halaman rumah sebagai hobi, lama-kelamaan saya menjadi semakin tertarik untuk menghias dengan lebih serius pada bahagian lain,” katanya.

Menurut Krinitsina lagi, proses menghasilkan mural pada dinding itu bermula dengan mencari gambar-gambar menarik di laman sosial.

Bagaimanapun atas faktor usia, proses tersebut dibantu oleh anak saudaranya yang juga gemarkan seni.

Sebaik gambar dicetak, Krinitsina akan menyusun gambar tersebut pada dinding sebelum mula memahat penutup botol pada dinding mengikut warna-warna yang dipilih.
Lazimnya, setiap mural mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk disiapkan.

“Kesemua penutup ini diperoleh hasil daripada pencarian di tapak pembuangan sampah. Saya tidak malu mengakuinya sebaliknya berbangga apabila bahan tersebut mampu dijadikan hiasan dinding rumah yang sangat cantik.

“Kebiasaannya saya boleh mendapat sehingga 200 penutup botol dalam satu-satu masa,” terangnya.

Kata Krinitsina lagi, ramai mendakwa dia berjaya mendapatkan penutup botol dengan mudah kerana majoriti penduduk di kawasan perkampungan itu merupakan kaki botol.

Bagaimanapun tegas Krinitsina, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Ini kerana kebanyakan penutup yang ditemuinya adalah daripada minuman biasa atau botol sos.

Malahan tiada satu penutup botol pun daripada wain atau vodka.

 

KRINITSINA mengetuk penutup-penutup botol dengan menggunakan penukul.

 

Sebelum mural sentuhan Krinitsina hangat diperkatakan sekitar pertengahan tahun lalu, ia sebelum ini pernah dilaporkan pada tahun 2014 selepas seorang blogger Rusia berkongsi gambar-gambar tersebut di laman sosial.

Sejak dari saat itu, kediaman Krinitsina tidak henti-henti dikunjungi orang awam.

“Kediaman ini merupakan antara lokasi tarikan orang awam dari dalam dan luar negara.

“Kebanyakan yang berkunjung ke rumah ini adalah dalam kalangan mereka yang berkeluarga. Selalunya, kanak-kanak merupakan individu yang paling teruja melihat lukisan mural ini.

“Paling terharu apabila ada sebilangan orang awam yang mendermakan penutup botol ketika mereka melawat kediaman ini untuk memudahkan saya menghias rumah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI