fbpx

NGO gesa pihak berkuasa siasat aplikasi iShareFans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fitri hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis berhubung aplikasi iShareFans yang didakwa telah menipu penggunanya.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gagasan Baru Harapan Malaysia membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap penularan satu promosi skim dikenali sebagai iShareFans yang didakwa telah menipu ramai pihak.

Presidennya, Mohd. Zulfitri Mohd. Basir berkata, laporan itu dibuat kerana skim yang menggunakan sistem permainan wang (money game) itu didapati telah menggunakan sistem pengoperasian yang meragukan.

“Kami telah mengesan satu ciapan yang dimuatnaik di Facebook rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertajuk “Tipu scam boleh buat duit? Money Game System Ponzi” di mana dalam hantaran tersebut meletakkan gambar yang dipercayai merupakan sebuah sistem dikenali sebagai iShareFans.

“Selepas diselidik, didapati skim ini menggunakan sistem yang meragukan sehubungan itu pihak kami tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa segera siasat skim tersebut yang kini telah menjadi tular di laman sosial bagi mengelakkan ia digunakan sebagai platform penipuan,” katanya.

Mohd. Zulfitri berkata demikian ketika tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga bimbang lebih ramai akan terpedaya dengan skim tersebut susulan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2021 mengenai pelbagai bantuan tunai terutama bagi golongan M40 dan B40.

“Kami bimbang pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjalankan penipuan terhadap rakyat yang kian terhimpit akibat dari penularan Covid-19 ini, kerana jika dilihat di laman sosial, sasaran ahli mereka ialah daripada golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, turut menjadi kerisauan ialah pihak tersebut menyalahgunakan maklumat peribadi seperti butiran akaun dan maklumat diri kepada pihak tidak bertanggungjawab kerana rata-rata ahli skim ini dikehendaki untuk memberikan nama dan nombor akaun bank mereka,” jelasnya.

Sejak semalam, skim iShareFans menjadi tular di laman Facebook selepas terdapat beberapa pihak memuatnaik kenyataan bahawa mereka ditipu apabila pihak pengendali skim itu tidak dapat dihubungi dan wang yang diperoleh melalui skim itu turut tidak dapat dikeluarkan.

Difahamkan skim tersebut menawarkan pulangan berbentuk wang yang banyak dengan mudah di mana ahlinya akan diberi tugas untuk memberi tanda suka dan kongsi beberapa akaun laman sosial bagi mendapatkan ganjaran.

Setiap ahli juga perlu melaburkan wang ringgit mengikut pakej-pakej yang disediakan bagi mendapatkan semula pulangan modal yang dikeluarkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI